Konsortium Malaysia majukan bandar perubatan di Kerala | Kementerian Kerja Raya Skip to main content

SEBUAH konsortium dianggotai IJM Bhd dan Malaysia Allied Health Science Academy College (Mahsa) bakal memajukan sebuah bandar perubatan di Kerala, sebaik ia diluluskan kerajaan negeri itu. 

Kerala State Industrial Development Corporation, dan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) serta konsortium berkenaan sedang mengadakan rundingan serius bagi memeterai perjanjian bagi projek bernilai RM433 juta (AS$120 juta) di Kinalur di Bandaraya Kozhikode. 

"Menerusi CIDB kami memeterai memorandum perjanjian dengan kerajaan negeri Kerala pada September dan berharap dapat memeterai perjanjian muktamad tidak lama lagi. 

"Anggaran pelaburan bagi fasa pertama dijangka melebihi AS$120 juta dan boleh disiapkan dalam tempoh tiga tahun. 

"Syarikat Malaysia menyuarakan minat untuk memajukan projek ini. 

"Ini peluang baik bagi negara kita mengeksport kepakaran yang kita ada dan membina pengetahuan teknikal kita sendiri," kata Menteri Kerjaraya, Datuk Mohd Zin Mohamed, yang melawat tapak projek itu, kepada Bernama. 

IJM akan menjadi pemaju utama, manakala Mahsa akan terbabit dalam penyediaan prasarana perubatan. 

Bandar perubatan bersepadu yang dicadangkan dan akan dimajukan dalam empat peringkat itu, akan dibina di tapak seluas 110 hektar di Kinalur, kira-kira 42 kilometer dari Kozhikode atau juga dikenali sebagai Calicut, bandar ketiga terbesar di negeri Kerala. 

Sebuah universiti perubatan, hospital, sekolah jururawat, kolej pergigian dan pusat kesihatan bagi perubatan tradisional dan moden serta kilang pengeluaran produk farmaseutikal dirancangkan bagi bandar raya ini. 

Konsortium Malaysia itu juga membuat cadangan untuk membina lebuh raya merentasi Kinalur, yang akan mengurangkan jarak perjalanan hingga separuh dari bandar utama ke tapak projek itu. 

Apabila dimajukan nanti, ia akan mewujudkan hampir 25,000 pekerjaan mahir dan separa mahir bagi penduduk tempatan yang amat bergantung kepada pertanian. 

Selepas lawatan itu, Menteri Kerja Raya Kerala, Mons Joseph, menemui Mohd Zin bagi mengadakan perbincangan selanjutnya tentang projek bandar raya perubatan itu. 

Bercakap kepada pemberita kemudian, Joseph berkata, syarikat Malaysia berminat memajukan projek itu dan kerajaan negeri itu akan mengadakan perbincangan selanjutnya sebelum memeterai perjanjian bagi memulakan projek mega itu, yang akan menukar daerah terpencil berkenaan menjadi sebuah bandar satelit. 

 

 

Tarikh
Surat Khabar
Berita Harian