Kilometer 11 Lebuh Raya Persekutuan ditutup | Kementerian Kerja Raya Skip to main content

KUALA LUMPUR Syarikat konsesi Lebuh Raya Kemunting-Shah Alam (LKSA), Projek Lintasan Kota Holdings Sdn. Bhd. (Prolintas) menutup sebahagian laluan di kilometer 11 Lebuh Raya Persekutuan bermula 24 Oktober lalu sehingga 15 Disember depan.

Laluan yang terlibat itu ialah di Bulatan Bunga Lawang iaitu susur keluar ke pusat bandar raya Shah Alam dan bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri.

Pengurus Besar Bahagian Pembangunan Organisasi dan Sokongan Prolintas, Azhari Karim berkata, penutupan itu adalah bagi membolehkan kerja-kerja pembinaan berkaitan LKSA dilaksana.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan pengguna lebuh raya berkenaan supaya mematuhi semua papan tanda di kawasan terlibat.

Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh menghubungi talian bebas tol LKSA di 1300-88-2801.

LKSA sepanjang 14.7 kilometer merupakan lebuh raya tiga lorong sehala yang bermula di persimpangan bertingkat Kota Kemuning Lebuh Raya Shah Alam (Kesas) dan berakhir di Lebuh Raya Persekutuan.

 

Tarikh
Surat Khabar
Utusan Malaysia