KUALA LUMPUR 19 Nov. - Projek Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) percaya diskaun tol 10 peratus yang diberikan kepada pengguna Lebuh Raya Utara Selatan dan Elite dari tengah malam hingga 7 pagi mulai 1 Januari depan akan membantu mengurangkan kesesakan jalan raya pada waktu pagi.
Pengurus Besar Komunikasi Korporatnya, Khalilah Talha (gambar) berkata, diskaun yang ditawarkan mulai 12 malam sehingga 7 pagi itu akan menggalakkan pekerja yang menggunakan lebuh raya berkenaan keluar awal ke tempat kerja bagi menikmati diskaun.
''Ini sekali gus akan mengurangkan kesesakan jalan raya pada waktu puncak dan menggalakkan golongan pekerja untuk tiba lebih awal ke pejabat daripada sebelum ini,'' katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Khalilah berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan seorang pakar trafik dan pengangkutan yang menyifatkan pemberian diskaun tol 10 peratus berkenaan sebagai tawaran 'ajak-ajak ayam'.
Pakar tersebut, Profesor Madya Dr. Hashim Mat dari Pusat Pengajian Perumahan, Bangunan dan Perancang Universiti Sains Malaysia (USM) khuatir matlamat asal tawaran untuk mengurangkan beban rakyat itu akan bertukar kepada peningkatan lebih banyak kes kemalangan jalan raya.
Khalilah menambah, isu keselamatan di waktu malam ekoran peningkatan pengguna pada waktu diskaun sudah dijelaskan pada sidang akhbar semalam.
Jelas beliau, golongan yang akan mendapat manfaat daripada diskaun tersebut ialah mereka yang sering berulang-alik dari tempat kerja ke rumah dengan menggunakan lebuh raya setiap hari.