KUALA LUMPUR: Pemandu kenderaan ringan (Kelas 1) yang menggunakan Lebuh Raya Utara -Selatan dan Lebuh Raya Ekspres Lingkaran Tengah (Elite) berpeluang menikmati diskaun dan rebat bayaran tol sehingga 25 peratus, mulai tahun depan.
Diskaun itu ditawarkan Plus Expressways Berhad (Plus) menerusi tiga skim Program Insentif Perjalanan Plus, iaitu:
Pengguna kenderaan Kelas 1 yang menggunakan lebuh raya berkenaan antara jam 12 tengah malam hingga 7 pagi akan menikmati diskaun bayaran tol sebanyak 10 peratus mulai 1 Januari depan hingga 31 Disember 2010.
Diskaun tambahan 10 peratus diberi kepada pengguna kenderaan Kelas 1 yang menggunakan lebuh raya berkenaan antara jam 12 tengah malam hingga 7 pagi dalam tempoh seminggu sebelum dan selepas Aidilfitri, Tahun Baru Cina, Deepavali serta Krismas mulai 1 Januari depan hingga 31 Disember 2010.
Pengguna kedua-dua lebuh raya yang menggunakan sistem bayaran tol elektronik dengan bayaran terkumpul minimum RM200 setiap bulan, akan menerima rebat lima peratus mulai 1 Januari depan. Tawaran terbuka kepada pengguna yang berdaftar dengan Program Loyalti Plus yang akan dilancarkan bulan depan.
Pengarah Urusan Plus Expressways, Noorizah Abdul Hamid, berkata program itu diperkenalkan bagi menyahut seruan kerajaan supaya sektor swasta membantu meringankan beban pengguna ketika keadaan ekonomi tidak menentu sekarang.
Beliau memberi contoh, melalui insentif pertama pengguna yang melalui Plaza Tol Jalan Duta ke Plaza Tol Ipoh Selatan hanya perlu membayar tol sebanyak RM23.80 berbanding RM26.50 sekarang.