Menteri diminta perjelas konsesi lebuh raya | Kementerian Kerja Raya Skip to main content

PUTRAJAYA: Datuk Seri Najib Razak akan meminta Menteri Kerjaraya, Datuk Mohd Zin Mohamed memberi penjelasan mengenai cadangan kerajaan tidak mengklasifikasikan perjanjian konsesi lebuh raya sebagai perkara sulit dan rahsia. 

Timbalan Perdana Menteri berkata, Kabinet sudah beberapa kali mengadakan perbincangan mengenai kandungan perjanjian konsesi lebuh raya sebelum ini. 

"Saya akan meminta Menteri Kerjaraya membuat kenyataan bagi memastikan perkara teknikal mengenai perkara itu," katanya kepada media selepas majlis Anugerah Belia Felda Malaysia (ABFM) 2008, di sini semalam. 

Ditanya sama ada mesyuarat Kabinet, Jumaat lalu turut membincangkan kandungan perjanjian konsesi lebuh raya, Najib yang juga Menteri Kewangan berkata, ia tidak dibincangkan. 

"Memang Kabinet ada membincangkan perjanjian konsesi lebuh raya beberapa kali sebelum ini tetapi bukan dalam mesyuarat yang terbaru. Biarlah Menteri Kerjaraya yang membuat sebarang kenyataan mengenai perkara berkenaan," katanya. 

Najib mengulas laporan akhbar berbahasa Inggeris yang memetik sumber sebagai berkata, kerajaan tidak lagi mengklasifikasikan perjanjian konsesi lebuh raya sebagai dokumen sulit. 

Ia bermaksud kandungan kontrak perjanjian yang sebelum ini dikatakan banyak memberi keuntungan kepada syarikat pemegang konsesi boleh didedahkan kepada umum. 

Antara syarikat pemegang konsesi mengendalikan jajaran lebuh raya ialah Plus Expressway Bhd, Penang Bridge Sdn Bhd, Besraya (M) Sdn Bhd, Elite, Grand Saga Sdn Bhd, Kesas Sdn Bhd, Litrak, New Pantai Expressway Sdn Bhd (NPE), Konsortium Lebuhraya Butterworth-Kulim Sdn Bhd dan Sistem Lingkaran Lebuhraya Kajang Sdn Bhd (Silk). 

 

 

 

Tarikh
Surat Khabar
Berita Harian