Kaedah Vop pastikan projek ikut jadual | Kementerian Kerja Raya Skip to main content

BANDARAYA MELAKA - Kenaikan harga bahan binaan secara mendadak mengakibatkan tekanan dan bebanan kewangan kepada kontraktor menyebabkan beberapa projek gagal disiapkan mengikut jadual.

Selaras itu, kerajaan mewujudkan kaedah pengiraan perubahan harga atau 'variation of price' (VOP) bagi membantu mengurangkan kerugian ditanggung kontraktor akibat kenaikan harga bahan binaan terbabit.

Menteri Kerja Raya, Datuk Mohd Zin Mohamed berkata, kementerian sudah mengambil langkah memastikan projek dalam pelaksanaan dapat disiapkan mengikut jadual, termasuk kaedah mengatasi kenaikan harga bahan binaan.

"Ia adalah satu langkah perihatin diambil kerajaan bagi menentukan mekanisme yang menentukan ada perubahan harga, iaitu VOP dan kenaikan harga 15 bahan binaan utama secara mendadak, antara punca banyak projek gagal dilaksanakan mengikut jadual," katanya pada sidang media selepas mejlis penerangan mengenai Pengiraan Perubahan Harga (VOP) dan IBS, di sini, semalam.

"Menurut maklumat daripada pengarah Kerja Raya Negeri, Abdul Razif Ibrahim, di Melaka sejak VOP diwujudkan, hampir tujuh bilion sudah dibayar kepada kontraktor manakala kementerian sudah mengenal pasti sejumlah 1,311 projek layak untuk pembayaran VOP.

"Sebanyak 270 projek sudah disediakan bayaran itu manakala 1,041 projek masih lagi dalam peringkat pengiraan tuntutan kontraktor.  Sehingga 17 November ini, kerajaan membelanjakan RM44.2 juta untuk bayaran itu," katanya.

Mohd Zin berkata, daripada 51 projek diluluskan dalam RMK-9 bagi zon selatan melibatkan Melaka, Johor dan Negeri Sembilan, sebanyak 19 projek berjaya disiapkan manakal selebihnya masih dalam pelbagai peringkat pelaksanaan.  Bagaimanapun, 18 projek dikategorikan sebagai mengikut jadual manakala tujuh projek lagi dalam perancangan rekabentuk.

 

Tarikh
Surat Khabar
Sinar Harian