KUALA LUMPUR 19 Dis- Jabatan Kerja Raya (JKR) diarah supaya memaklumkan terus sebarang maklumat terkini berhubung keselamatan di sekitar kawasan runtuhan Bukit Antarabangsa kepada pihak polis.
Ketua Pengarah JKR, Datuk Seri Ir. Dr. Judin Abdul Karim dalam satu kenyataan berkata, arahan itu dikeluarkan agar tidak wujud percanggahan dalam penyampaian maklumat.
Jelasnya, laporan itu perlu diserahkan kepada pihak polis untuk memberi pandangan tentang faktor-faktor yang perlu dititikberatkan sebelum mengeluarkan sebarang arahan kepada penduduk.
Beliau menambah, pihaknya perlu mengikut prosidur kerja yang ditetapkan dalam Panduan Majlis Keselamatan Kebangsaan NO 20-Polis dan Mekanisme Mengenai Pengurusan dan Pemulihan Bencana Kebangsaan dalam penyediaan laporan berkenaan.
"Pihak polis kemudian akan memberikan laporan berkenaan kepada Pegawai Daerah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bantuan dan Pengurusan Bencana Daerah," katanya mengulas kenyataan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim yang mendakwa JKR tidak akan menyerahkan laporan geoteknikal dan siasatan Institut Kerja Raya Malaysia (Ikram) kepada Kerajaan Negeri Selangor.