Rebat tol 5 peratus menerusi program Loyalti PLUSMiles | Kementerian Kerja Raya Skip to main content

SUNGAI BULOH - PLUS Expressways Berhad kali ini membuka peluang kepada pengguna lebuhraya PLUS dan ELITE menyertai program loyalti PLUSMiles merebut peluang menikmati rebat tol sebanyak lima peratus apabila berbelanja RM200 setiap bulan di kedua-dua lebuh raya tersebut. 

Pengarah Urusannya, Noorizah Abd Hamid berkata, ganjaran hebat ini bertujuan memberi penghargaan kepada pelanggan-pelanggan setia yang terus menyokong dan menggunakan perkhidmatan lebuh raya PLUS dan ELITE. 

"Berbeza dengan insentif-insentif lain yang diumumkan sebelum ini, program loyalti PLUSMiles tidak terhad kepada tempoh-tempoh tertentu, tetapi mereka perlulah menggunakan kad PLUSMiles ini untuk membuat pembayaran tol,? katanya pada Majlis Pelancaran Program Loyalti PLUSMiles di Restoran Jejantas dekat sini, semalam. 

Program loyalti PLUSMiles ini merupakan satu lagi langkah PLUS Expressways untuk menyokong hasrat kerajaan dalam menggalakkan lebih ramai pengguna lebuh raya beralih ke sistem pembayaran tol secara elektronik. 

Pelanggan program ini boleh melayari dan mendaftar di www.plusmiles.com.my atau mengunjungi mana-mana pusat khidmat pelanggan di lebuh raya PLUS dan ELITE bermula semalam serta akan menerima kad eksklusif PLUSMiles yang turut dilengkapi dengan fungsi kad 'Touch n Go' hanya dengan bayaran RM10. 

"Seperti kad 'Touch n Go' yang sedia ada, kad PLUSMiles ini membolehkan pelanggan menggunakannya untuk membuat bayaran tol di semua lebuh raya seluruh negara selain membuat bayaran untuk perkhidmatan-perkhidmatan lain seperti perkhidmatan pengangkutan awam di Lembah Klang, bayaran meletak kenderaan dan lain-lain," jelasnya. 

Selain itu, kad PLUSMiles ini juga memberi peluang kepada pelanggan menikmati pelbagai bentuk ganjaran dan diskaun daripada semua rakan perniagaan yang mengambil bahagian antaranya seperti KFC, Burger KIng, A&W, Baskin Robbins, Grand Paradise Hotel, AAM, Hotel Sheraton Subang dan banyak lagi. 

Bagi pelanggan baru mendaftar boleh memindahkan baki dari kad 'Touch n Go' yang sedia ada kepada kad PLUSMiles yang baru dan membatalkan kad 'Touch n Go' yang sedia ada. 

 

 

 

 

 

 

Tarikh
Surat Khabar
Sinar Harian