Syarikat konsesi diarah pantau elak kejadian tanah runtuh
BUTTERWORTH: Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) mengenal pasti 196 cerun bukit yang dikategori sebagai kritikal dan perlu pemantauan rapi di sepanjang lebuh raya di negara ini.
Daripada jumlah itu, sebanyak 179 adalah di lebuh Raya Utara-Selatan dan 17 lagi di Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak dengan enam terletak di Kilometer 38.
Ketua Pengarah LLM, Datuk Mohd Razali Othman, berkata syarikat konsesi yang mengurus dan mengendali lebuh raya berkenaan diarah memantau cerun kritikal berkenaan bagi mengelakan kejadian tanah runtuh.
Katanya, dua kaedah pemantauan dilakukan syarikat konsesi iaitu meninjau lokasi cerun melalui jalan udara menggunakan helikopter.
Pemantauan dari udara bagi memastikan kegiatan pihak ketiga seperti penanam sayur dan pekebun yang mungkin membina kolam dikawasan bukit berhampiran lebuh raya tidak membahayakan laluan berkenaan.
"Syarikat konsesi diwajibkan memantau laluan di kawasan cerun setiap dua bulan bagi memastikan ia stabil dan selamat dilalui," katanya.
Beliu berkata demikian kepada pemberita selepas menghadari taklimat mengenai isu semasa dalam industri binaan di Seberang Jaya di sini, semalam.
Mohd Razali mengulas tahap keselamatan lebuh raya di negara ini terutama di kawasan cerun bagi mengelak tanah runtuh sehingga membahayakan pengguna.
Minggu lalu, empat mengsa terkorban apabila 14 banglo di Taman Bukit Mewah, di Bukit Antarabangsa, Hulu Klang, Selangor, ranap dalam kejadian tanah runtuh.
Kejadian itu membuka mata banyak pihak untuk melaksanakan tadbir urus cerun bagi mengelak kejadian seperti itu berulang.
Mohd Razali berkata, sehingga kini lebuh raya di negara ini selamat untuk semua kenderaan walaupun ada laluan di lokasi tertentu dibina di kawasan cerun dan berisiko berlaku runtuhan.
Katanya, lebuh raya di sekitar Lembah Klang juga selamat untuk semua kenderaan keran tidak banyak di bina di kawasan cerun.
"Saya mengingatkan pengguna supaya tidak perlu bimbang kerana semua lebuh raya selamat dilalui," katanya.