KUALA LUMPUR- Jabatan Kerja Raya (JKR) akan membina semula jalan utama yang terputus akibat runtuhan tanah minggu lalu di Bukit Antarabangsa bagi melancarkan pergerakan lalu lintas.
Menteri Kerja, Datuk Mohd Zin Mohamed berkata, JKR akan memulakan pembinaan semula jalan utama secara berhati-hati bagi mengelakan runtuhan tanah yang kedua.
Menurutnya, pembinaan semula jalan utama penting kerana jalan alternatif yang dibina oleh anggota tentera tidak dapat bertahan lama dan tidak dapat menahan kesesakan lalu lintas kawasan tersebut.
"Laluan alternatif tidak dapat menahan kesesakan lalu lintas yang melibatkan tujuh ribu kenderaan yang keluar masuk di Bukit Antarabangsa ini," katanya pada siding media selepas melawat kawasan runtuhan di sini semalam.
Mohd Zin berkata, JKR akan membina semula jalan utama di atas tanah runtuhan atas faktor-faktor keselamatan kerana kawasan runtuhan tersebut masih lagi selamat untuk dibersihkan.
"Bagaimanapun jika terdapat sedikit rekahan atau pergerakan tanah di kawasan runtuhan, JKR akan serta merta menghentikan operasi bagi mengelakkan sebarang runtuhan lagi, katanya.
Menurutnya, pada waktu sekarang, laluan keluar masuk hanya boleh di gunakan menerusi laluan alternatif iaitu dengan melalui jambatan sementara yang disediakan angkatan tentera.
"Laluan sehala di jambatan ini telah mewujudkan kesesakan lalulintas kerana laluan sehala bagi kenderaan keluar masuk dari kawasan yang terputus hubungan,"katanya.
Beliau berkata, JKR telah memberi jaminan untuk menyiapkan jambatan bailey bagi mengantikan jambatan sementara itu.
"Jambatan sementara tidak selamat untuk digunakan bagi jangka masa lama kerana aspek keselamatannya yang minimum," katanya.
Menurutnya ,kerjasama amat diperlukan daripada penduduk yang terputus hubungan supaya mengawal displin bagi melancarkan pergerakan lalu lintas.