CIDB unjur pendapatan RM140j | Kementerian Kerja Raya Skip to main content

LEMBAGA Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) menjangka meningkatkan pendapatan kepada kira-kira RM140 juta tahun depan daripada kira-kira RM130 juta tahun ini walaupun industri pembinaan dijangkakan berkembang agak lemah.

Pengerusinya, Tan Sri Jamilus Hussein, berkata sebagai agensi penyelaras bagi 63,000 syarikat terbabit dalam industri pembinaan, CIDB akan terus menumpukan kepada program membina kapasiti dan keupayaan walau dalam apa keadaan ekonomi sekali pun.

"Umumnya, walaupun pertumbuhan ekonomi agak lemah kesan kelembapan ekonomi dunia, aktiviti CIDB tidak bergerak dalam aliran yang sama kerana kami masih perlu meneruskan aktiviti membina kapasiti dengan memberi penekanan kepada profesionalisme, inovasi dan pengetahuan berkaitan industri binaan.

"Pengenalan produk baru seperti pensijilan dan pembinaan kapasiti untuk sistem berasaskan industri (IBA) seperti dimandatkan oleh Kementerian Kerja Raya kepada CIDB akan menyumbangkan peningkatan pendapatan itu," katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian zakat perniagaan CIDB bagi 2007, di Kuala Lumpur semalam.

Jamilus berkata,IBS akan terus menjadi satu daripada tumpuan CIDB tahun depan bagi membantu kerajaan mencapai sasaran 70 peratus sektor pembinaan negara memggunakan pendekatan itu.

Katanya, Malaysia sudah lama memperkenalkan konsep berkenaan iaitu sejak lebih 25 tahun lalu, tetapi pertumbuhannya masih perlahan walaupun banyak manfaat mampu diraih daripada penggunaannya termasuk tempoh pembinaan yang lebih pendek dan kurang menggunakan tenaga buruh.

Namun, beliau berkata langkah Kementerian Kerja Raya mulai November lalu yang memastikan semua tender ditawarkan di bawah Jabatan Kerja Raya, diharap akan memastikan pertumbuhan IBS yang lebih pantas.

"Malaysia juga perlu mewujudkan pelan migrasi termasuk migrasi minda untuk menggunapakai konsep berkenaan dalam sistem pembinaan negara," tambah beliau.

Jelasnya, antara inisiatif CIDB untuk memajukan konsep berkenaan termasuk menyediakan struktur khusus mengenai konsep IBS dengan membangunkan Pusat IBS sebagai pusat rujukan setempat oleh semua pihak bagi merancang, mereka bentuk, mengeluar, melatih, mengeluarkan pensijilan dan penggunaan teknologi maklumat berkaitan syarikat IBS.   

 

Tarikh
Surat Khabar
Berita Harian