Kementerian Kerja Raya kini bertaraf lima bintang | Kementerian Kerja Raya Skip to main content

KUALA LUMPUR 14 Jan. - Kementerian Kerja Raya mencatat sejarah sebagai kementerian pertama mendapat pengiktirafan lima bintang menerusi Sistem Penarafan Bintang (SSR) yang diperkenalkan oleh Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (Mampu).

Ketua Setiausahanya, Datuk Seri Dr. Abdul Munit Kasmin berkata, hasil penilaian SSR, kementeriannya berjaya memperoleh markah tertinggi iaitu 92.18 peratus sekali gus layak diiktiraf sebagai kementerian lima bintang bagi tahun 2008 menewaskan 27 buah kementerian lain.

Beliau berkata, pada tahun 2007, Kementerian Pelajaran berada di kedudukan pertama dengan pengiktirafan empat bintang manakala Kementerian Kerja Raya pula sekadar berada di kedudukan kedua.

''Namun, hasil usaha gigih dan kerjasama yang ditonjolkan oleh semua kakitangan, kami berjaya membuktikan bahawa kementerian ini mampu menjadi kementerian nombor satu di Malaysia terutama dalam memberikan perkhidmatan terbaik untuk rakyat,'' katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Pengiktirafan Kementerian Kerja Raya Sebagai Kementerian Lima Bintang Pertama di Malaysia di sini hari ini.

Turut hadir, Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan), Datuk Nasir Mat Dam dan Timbalan Ketua Setiausaha (Operasi), Zaiton Mhad. Ali.

SSR yang dilaksanakan bermula tahun 2007 oleh Mampu merupakan kaedah penarafan seluruh kementerian termasuk agensi-agensi kerajaan di negara ini.

Ia dilaksanakan bagi menilai, mengukur, memantau dan menambah baik penyampaian perkhidmatan agensi kerajaan supaya satu indikator dapat diberikan terhadap prestasi sesebuah agensi.

SSR dinilai berdasarkan tiga kriteria utama iaitu pengurusan, perkhidmatan teras dan pengurusan pelanggan.

Dalam perkembangan sama, Abdul Munit mengesa semua kakitangannya bersikap lebih efisien dan profesional dalam pekerjaan bagi memastikan pencapaian penarafan lima bintang ini mampu dikekalkan dan dilaksanakan dengan lebih praktikal pada masa akan datang.

"Sebagai contoh, sebagai pemilik Jalan Persekutuan yang diwartakan di bawah Menteri Kerja Raya, kakitangan kementerian harus memastikan setiap batang jalan yang dibina disenggara dengan baik dan sempurna bagi memenuhi kehendak pusingan kerja.

"Malah, setiap aduan yang diterima juga perlu diselesaikan dengan segera berdasarkan piagam pelanggan agar kepuasan pelanggan sentiasa terjamin selain memastikan penghasilan produk yang berkualiti,'' katanya.

 

 

Tarikh
Surat Khabar
Utusan Malaysia