Bersyukur tinggal di negara aman: Rosmah | Kementerian Kerja Raya Skip to main content

KUALA LUMPUR: Rakyat Malaysia perlu bersyukur kerana tinggal di negara yang aman dan perlu memastikan diri mereka tidak terpengaruh dengan sebarang dakyah atau fitnah yang dilemparkan terhadap kerajaan.

 Isteri Timbalan Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor, berkata rakyat Malaysia beruntung tinggal di negara yang disifatkan sebagai bumi bertuah, tidak seperti rakyat Palestin yang menderita dan sengsara akibat kezaliman zionis. Katanya, seperti yang digambarkan angkasawan negara, Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor yang berkesempatan ke Palestin dan melakukan pembedahan terhadap mereka yang cedera, ramai yang meninggal dunia dalam ambulans apabila ditahan di sempadan Mesir. 

"Oleh kerana tidak cukup kemudahan dan peralatan di hospital, mereka yang cedera dihantar ke Mesir tetapi ramai yang meninggal dunia dalam ambulans kerana tidak dapat memasuki negara itu.

 "Di Malaysia, rakyat beruntung kerana mempunyai kemudahan dan kelengkapan yang cukup untuk mereka yang sakit... jadi belalah Malaysia sebaik mungkin, jangan terpengaruh dengan dakyah dan fitnah," katanya berucap sempena penyerahan cek sumbangan RM800,000 kepada Tabung Kemanusiaan Rakyat Palestin di Pusat Konvensyen CIDB, di sini, semalam.

 Majlis penyerahan cek hasil derma enam minggu di kalangan kakitangan Kementerian Kerja Raya dan agensi di bawahnya serta pengguna lebuh raya itu disempurnakan Menteri Kerja Raya, Datuk Mohd Zin Mohamed kepada Rosmah selaku Penaung Tabung Kemanusiaan Palestin. 

Rosmah berkata, daripada maklumat disampaikan Dr Sheikh Muszaphar, rakyat Palestin di Gaza memerlukan bantuan bukan saja makanan, ubat-ubatan dan kepakaran doktor, malah jana kuasa berikutan ketiadaan bekalan elektrik. 

Katanya, kemungkinan Kementerian Kerja Raya boleh membantu menyumbangkan jana kuasa kepada rakyat Palestin. "Sejak bumi Palestin diceroboh Zionis, Malaysia sentiasa peka dan prihatin terhadap kesengsaraan rakyat di negara itu, umpama cubit paha kanan, paha kira terasa juga sakitnya. 

"Saya bangga dengan ketulusan dan keikhlasan rakyat Malaysia terhadap penderitaan dan kesengsaraan umat Islam di Palestin.

 "Kita sedar sebagai saudara seagama, kita tidak mampu menggalas senjata tetapi kita masih mampu mengurangkan penderitaan menerusi bantuan yang diberikan," katanya. 

Tarikh
Surat Khabar
Berita Harian