KUALA LUMPUR: Sebanyak 26 alat pengesan perubahan struktur tanah berteknologi fiber optik di tanam sekitar lereng bukit Taman Hillview, Ampang bagi memberi amaran awal jika berlaku tanah runtuh kepada penduduk kawasan perumahan berhampiran.
Ketua Pegawai eksekutif Photronix Technologies (M) Sdn Bhd, Mohd Izzuddin Ali, berkata dengan menggunakan alat extensometer itu,Jabatan Kerja Raya (JKR) akan memantau sebarang perubahan struktur tanah menggunakan teknologi komunikasi tanpa wayar setiap tiga jam dari ibu pejabatnya.
Katanya, JKR menggunakan teknologi fiber optik sebagai alat pengesan kerana ketahannya tinggi dan mampu beroperasi secara berterusan dalam jangka masa panjang, membolehkan pemantauan terhadap perubahan keadaan tanah dilakukan dengan lebih berkesan.
?Teknologi yang menggunakan cahaya menggantikan arus elektrik itu mempunyai pelbagai kelebihan berbanding penggunaan alat pengesan biasa apabila julat bacaan data yang luas dan sesuai bagi mengesan keadaan tanah daripada rekahan kecil dalam struktur sehingga ia kritikal dan tidak selamat sebelum runtuhan berlaku,? katanya kepada Berita Minggu, semalam.