Pemaju perlu segerakan kerja penstabilan cerun | Kementerian Kerja Raya Skip to main content

BUKIT KERINCI - Penduduk di Kondominium Pantai Panorama menggesa pihak pemaju projek perumahan Pantai Avenue berhampiran dengan kediaman mereka agar melakukan kerja-kerja penstabilan cerun dengan segera sebelum sebarang perkara tidak diingini berlaku.

Wakil Penduduk, Dr Teo Keng Huat memberitahu, kerja-kerja itu harus dilakukan segera bagi menahan struktur tanah di cerun bukit berhampiran kondominium tersebut.

"Pertama, mereka perlu membuat tembok penghadang (retaining wall), kedua mereka perlu mengunci wayar yang terjulur pada lubang cerucuk kongkrit (Concrit Bore Pilling) untuk stabilkan cerun.

"Selain itu, pemaju juga perlu menyiapkan kerja-kerja memasang cerucuk (pilling), bukan buat separuh jalan sahaja," katanya ketika ditemui pada sesi dialog bersama wakil Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anuar di sini, semalam.

Dalam pertemuan itu, Keng Huat turut mendedahkan bahawa pelan asal projek perumahan tersebut yang diluluskan tiga tahun lalu sudah tidak boleh diguna pakai lagi.

Hal ini kerana jurutera profesional yang tercatat pada pelan tidak berdaftar dengan Lembaga Jurutera sekali gus menafikan kelayakan jurutera tersebut dan perkara itu sudah dimaklumkan kepada DBKL.

"Kami sudah periksa, jurutera itu tidak berdaftar. Jadi siapa yang mahu bertanggungjawab terhadap projek ini?. Siapa yang mahu memantau projek ini? DBKL sendiri menganggap perkara ini sudah kritikal yang mana pemaju perlu menyerahkan pelan baru sebelum 4 Februari depan dan melakukan kerja-kerja penstabilan cerun secepat mungkin," katanya.

 

Tarikh
Surat Khabar
Sinar Harian