Tol NPE PJS 2 di mansuh bermula hari ini | Kementerian Kerja Raya Skip to main content

PETALING JAYA - Atas desakan penduduk setempat, kerajaan memutuskan untuk menghapuskan Plaza Tol Petaling Jaya Selatan (PJS 2) arah Kuala Lumpur, Lebuh Raya Pantai Baru (NPE) berhampiran Kampung Dato Harun berkuat kuasa hari ini.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ir Mohd Zin Mohamed berkata, keputusan untuk memansuhkan plaza tol tersebut akan memberi faedah kepada penduduk setempat terutama Kampung Medan dan kampung Dato Harun.

Menurutnya, faedah ini akan dinikmati semua rakyat tanpa mengira parti politik dan mereka seharusnya berterima kasih kepada kerajaan kerana prihatin terhadap masalah rakyat.

"Langkah murni ini adalah salah satu usaha kerajaan Barisan Nasional (BN) dalam membantu kira-kira 30,000 rakyat sekitar Petaling Jaya Selatan dalam menangani isu kenaikan kos sara hidup.

"Mulai 12 tengah malam nanti (hari ini) Plaza tol PJS 2 akan dimansuhkan serta-merta," katanya ketika hadir pada Majlis pemansuhan Tol PJS 2 (arah Kuala Lumpur) di sini, semalam.

Beliau berkata, pemansuhan tersebut adalah disebabkan desakan penduduk Kampung Medan dan Kampung Dato Harun serta kawasan  sekitarnya yang mengeluh kerana terpaksa menanggung beban bayaran tol setiap hari.

Menurutnya, penduduk terbabit terpaksa membayar RM1.60 untuk berulang alik dari rumah ke tempat kerja setiap hari sejak plaza tol terbabit dibina April 2004.

"Penduduk terpaksa membayar tol kerana tiada jalan alternatif disediakan, oleh kerana pertukaran konfigurasi lalu lintas daripada tiga fasa kepada dua fasa di persimpangan bertingkat (Motorola).

'Ia telah mengakibatkan pengguna dari arah Bandar Sunway atau Jalan kelang Lama untuk ke Taman Medan,' katanya.

Mohd Zin berkata, penduduk juga terpaksa melalui Sungai Way Ramp dan membayar tol di Plaza PJS 2 sebelum membuat pusingan ?U? di Taman Maju Jaya untuk ke rumah mereka.

'Sebahagian penduduk pula terpaksa membayar sebanyak dua kali bagi menggunakan laluan untuk ke Jalan PJS 2,' katanya.   

 

 

Tarikh
Surat Khabar
Sinar Harian