JAKARTA 13 Feb. - Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) mengenal pasti projek infrastruktur sebagai bidang yang berpotensi diceburi oleh kontraktor Malaysia di Indonesia.
Ketua Eksekutifnya, Datuk Ir. Hamzah Hasan (gambar) berkata, pada masa ini kerajaan Indonesia sedang berusaha meningkatkan kemudahan infrastruktur seperti lebuh raya, lapangan terbang dan kereta api.
Katanya, dasar tersebut membuka peluang kepada kontraktor Malaysia yang mempunyai pengalaman luas dalam bidang berkenaan.
''Kontraktor Malaysia sudah dua dekad berpengalaman dalam pembinaan lebuh raya, lapangan terbang serta kereta api dan ini adalah kekuatan kita," katanya ketika ditemui selepas menghadiri Persidangan Kontraktor ASEAN di sini hari ini.
Beliau berkata, CIDB akan mengumpul data tentang peluang dan jaringan kerjasama yang dapat dilaksanakan di Indonesia memandangkan jumlah kontraktor yang terlibat dalam projek di negara berkenaan masih kurang.
''Kontraktor kita walaupun telah terlibat dalam pelaksanaan projek di 35 buah negara, tetapi tidak ramai yang menceburkan diri di Indonesia," katanya.
Sehubungan itu, Hamzah berkata, beliau akan bertemu dengan kontraktor Malaysia yang telah berada di Indonesia bagi mendapatkan maklumat yang lebih lengkap, selain mengadakan pertemuan dengan kontraktor negara terbabit.
''Mei ini CIDB akan mengeluarkan data-data yang diperoleh untuk diedarkan kepada ahli-ahli," katanya.
Antara langkah yang dicadangkan bagi meningkatkan penglibatan kontraktor Malaysia di negara berkenaan, jelas beliau, adalah dengan mengadakan projek flagship yang diterajui oleh syarikat dari Malaysia.
''Malaysia hanya membawa kepakaran dan modal, kerja-kerja pembinaan dilaksanakan oleh kontraktor-kontraktor kecil dari Indonesia," katanya.
Rekod CIDB menunjukkan kontraktor Malaysia menyiapkan 366 projek luar negara berjumlah AS$9.1 bilion (RM30.4 bilion) dan kini melaksanakan 84 projek bernilai AS$16.1 bilion (RM53.8 bilion), menjadikan 450 projek bernilai AS$25.2 bilion (RM84.2 bilion) melibatkan 96 kontraktor