Hentikan kaedah timbus cerun bukit | Kementerian Kerja Raya Skip to main content

SUBANG 14 Feb. - Pemaju-pemaju perumahan perlu menghentikan segera kerja-kerja mengukuhkan cerun bukit menerusi kaedah menimbus bagi mengelakkan insiden tanah runtuh berulang.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ir. Mohd. Zin Mohamed berkata, ini kerana kajian mendapati kaedah berkenaan menjadi punca utama berlakunya tanah runtuh di Highland Towers dan Bukit Antarabangsa, Ulu Klang.

Menurutnya, Lembaga Pembangunan Pembinaan Malaysia (CIDB) perlu memainkan peranan bagi memastikan kontraktor yang berdaftar dengan agensi itu tidak menggunakan kaedah tersebut bagi memadatkan tanah di tapak projek.

''Kita hanya memberikan nasihat kepada mereka (kontraktor), terpulang kepada pihak berkuasa tempatan untuk mengambil tindakan terhadap mereka yang melanggar spesifikasi pemadatan tanah,'' katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Pembangunan Selamat di Lereng Bukit anjuran Lembaga Jurutera Malaysia di sini hari ini.

Tragedi Highland Towers pada 11 Disember 1993 mengorbankan 48 orang manakala kejadian tanah runtuh terbaru di Taman Bukit Mewah dan Taman Bukit Utama, Bukit Antarabangsa pada 6 Disember lepas mengorbankan lima orang dan 90 cedera.

Mohd. Zin mengingatkan pemaju perumahan supaya tidak berkompromi dalam aspek keselamatan pembinaan di kawasan cerun bukit tanpa mengira saiz sesebuah projek.

Beliau sebaliknya meminta pemaju bersedia memperuntukkan bajet yang besar untuk memastikan keselamatan projek mereka sentiasa terjamin.

''Pemaju tidak harus mempertaruhkan kepentingan dan keselamatan terutama orang awam semata-mata untuk memaksimumkan keuntungan,'' katanya.

Beliau juga meminta kegiatan pembangunan baru di cerun-cerun bukit dilaksanakan berdasarkan Laporan Kesahihan Jurutera Profesional ke atas penilaian dan pemulihan holistik cerun bukit.

Justeru, katanya, pelan induk pembangunan cerun bukit bagi sesebuah projek perlu diwujudkan dengan memasukkan beberapa elemen penting sebelum projek di kawasan cerun bukit dilaksanakan.

Beliau berkata, elemen tersebut ialah pembinaan jalan, sistem pengairan dan saliran, pembentungan, bekalan air, elektrik dan kemudahan telefon.

''Penyenggaraan berkala juga perlu dibuat oleh pemaju dan pihak berkuasa tempatan terhadap perparitan serta lereng yang runtuh untuk mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku,'' katanya.

Turut hadir Presiden Lembaga Jurutera Malaysia yang juga Ketua Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR), Datuk Seri Ir. Dr. Judin Abdul Karim; Presiden Institut Jurutera Malaysia dan 450 jurutera dari seluruh negara.

 

Tarikh
Surat Khabar
Mingguan Malaysia