KUANTAN 12 Feb- Kementerian Kerja Raya akan mengemukan cadangan kepada perbendaharaan supaya kontraktor kelas F dibenarkan menjalankan projek bernilai lebih RM 200,000
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ir. Mohd Zin Mohamed berkata, kertas Kerja berhubung perkara itu sedang disiapkan dan akan dikemukakan kepada Perbendaharaan tidak lama lagi.
Beliau bagaimanapun enggan menyatakan kadar maksimum yang perlu dinaikkan bagi kontraktor kelas tersebut.
"Saya mohon kebenaran daripada Perbendaharaan supaya had kelayakan menjalankan projek dinaikkan melebihi RM 200,000.
"Dalam hal ini, hanya Perbendaharaan yang mempunyai kuasa untuk mengkaji semula had kelayakan bagi kontraktor kelas F,"atanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan Kerja dan dialog dengan kakitangan Jabatan Kerja Raya (JKR) dan para kontraktor di Kompleks Tun Razak (KOMTUR) di Indera Mahkota di sini hari ini.
Beliau mengulas rungutan salah seorang peserta majlis dialog itu berhubung kenaikan harga bahan binaan yang menyebabkan kontraktor kelas F gagal memperoleh projek tertentu.
Mohd Zin menegaskan kerajaan menyedari masalah yang dihadapi kontraktor kelas F sukar mendapat projek berikutan kenaikan harga bahan binaan di pasaran.
Terdahulu dalam ucapannya, Mohd Zin memberitahu kerajaan telah menetapkan kepada kontraktor utama bahawa 10 peratus daripada kontrak berharga lebih RM 10 juta, perlu diserahkan kepada kontraktor kelas F.