Lebih mudah laksana projek Kerajaan Persekutuan di Perak - Mohd. Zin | Kementerian Kerja Raya Skip to main content

IPOH 23 Feb. - Peralihan kuasa kerajaan negeri yang berlaku secara sah di Perak bakal membawa manfaat besar kepada rakyat kerana pelbagai projek pembangunan yang dirancang oleh Kerajaan Persekutuan akan lebih mudah dilaksanakan.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ir. Mohd. Zin Mohamed berkata, ini kerana kerajaan negeri yang kini diterajui Barisan Nasional (BN) adalah lebih berkemampuan dan berwibawa berbanding pakatan pembangkang.

''Sekarang ini memang tidak ada masalah untuk melaksanakan pelbagai projek pembangunan kerana status kerajaan negeri pada masa ini dengan Kerajaan Persekutuan adalah sama (BN).

''Iklim dan suasana politik yang berlaku di Perak sebelum ini memang telah menimbulkan beberapa masalah tetapi sekarang ia sudah berakhir dan saya harap seluruh jentera Jabatan Kerja Raya (JKR) Perak dapat melaksanakan amanah yang diberi.

''Tambahan pula jumlah peruntukan Kerajaan Persekutuan untuk pembangunan di Perak adalah tiga kali ganda lebih besar berbanding peruntukan kerajaan negeri, jika JKR dapat menjalankan tugas dengan baik maka rakyat juga yang akan dapat manfaat," katanya.

Beliau menyatakan demikian ketika berucap pada majlis perjumpaan dengan warga JKR Perak dan sesi dialog bersama kontraktor Perak di sini hari ini.

Berdasarkan rekod, Kerajaan Persekutuan menyediakan peruntukan sebanyak RM1.46 bilion bagi projek pembangunan melalui pelbagai kementerian di Perak dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK9) berbanding RM367 juta oleh kerajaan negeri bagi tempoh sama.

Sementara itu, Mohd. Zin berkata, semua kementerian dan kerajaan negeri diminta menyediakan laporan lebih awal bagi melaksanakan projek pembangunan bagi RMK-10.

Katanya, langkah berkenaan sangat perlu bagi mengenalpasti segala masalah yang timbul agar ia tidak membantutkan sesuatu projek rakyat.

''Kita tidak mahu sesuatu projek itu tertangguh dan tidak dapat disiapkan dalam RMK-10 nanti hanya disebabkan timbulnya masalah semasa pelaksanaan projek.

''Sebagai contoh ialah masalah yang berkaitan dengan pengambilan tanah dan reka bentuk yang memerlukan masa lama untuk diselesaikan.

''Sepatutnya masalah seperti itu telah dikenalpasti dan hanya perlu diselesaikan sebaik sahaja projek diluluskan, tidak perlu lagi kita buang masa," jelas beliau.

Mohd. Zin juga mengingatkan agar projek-projek yang hendak dilaksanakan pada RMK-10 mestilah benar-benar memberi manfaat kepada rakyat dan bukan sebaliknya.

 

 

Tarikh
Surat Khabar
Utusan Malaysia