Bina rangkaian elak kesesakan | Kementerian Kerja Raya Skip to main content

KUALA LUMPUR: Kementerian Kerja Raya mahu semua pemaju membina rangkaian jalan penghubung dengan mengambil kira unjuran jangka panjang kepadatan penduduk setempat serta pertambahan kenderaan bagi mengelak kesesakan lalu lintas pada masa depan. 

Menterinya, Datuk Seri Mohd Zin Mohamed, berkata pemaju, terutama syarikat konsesi lebuh raya perlu proaktif mengambil kira kerancakan pembangunan masa depan sebelum merangka pelan pembinaan supaya tidak menyusahkan orang ramai. 

"Sebelum ini, banyak kes dilaporkan mengenai cadangan pemaju membina lebuh raya serta persimpangan bertingkat yang dijadikan gimik mempromosi kawasan perumahan baru tetapi tidak dipenuhi, lewat atau terbengkalai dan pembeli mengadu kepada pihak berkuasa tempatan (PBT). 

"Perubahan geopolitik seperti ini menyebabkan rakyat marah kepada kerajaan dan seperti terbukti pada pilihan raya umum lalu, pembangkang memanfaatkan isu tol dan kesesakan lalu lintas bagi mengkritik kerajaan sehingga menyaksikan beberapa negeri bertukar tangan. 

"Agensi kerajaan berkaitan harus melakukan unjuran mereka sendiri dan menetapkan kelebaran laluan baru yang harus dipatuhi pemaju," katanya pada majlis pelancaran Persimpangan Putra Heights, di sini, semalam. 

Hadir sama, Pengarah Urusan Sime Darby Property Bhd (Sime Darby), Tunku Datuk Putra Badlishah Tunku Annuar; Ketua Pengarah Kementerian Kerja Raya, Datuk Seri Prof Dr Judin Abd Karim; Pengerusi Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), Datuk Syed Jamal Syed Jaafar dan Pengarah Urusan Plus Expressways Bhd (Plus), Noorizah Abd Hamid. 

Persimpangan dua hala merangkumi 18 lorong sepanjang tiga kilometer itu berada dalam koridor pembangunan menghala ke Putrajaya, Cyberjaya serta Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dari Lebuh Raya Elite serta akan menggunakan sistem tol terbuka. 

Persimpangan Putra Heights, termasuk pembinaan plaza tol, dibiaya dan dibina Sime Darby selaku pemaju di kawasan terbabit bagi memberi nilai tambah kepada hartanah yang dibangunkan. Kutipan tol akan dilaksanakan Plus selaku pemegang konsesi Lebuh Raya Elite. 

Pemandu menggunakan Lebuh Raya Plus dikenakan tol 13.6 sen bagi setiap kilometer (km), manakala mereka yang menggunakan lebuh raya Elite pula dikenakan bayaran 14.96 sen setiap kilometer. Kutipan tol dimulakan jam 6 petang semalam. 

 

Tarikh
Surat Khabar
Berita Harian