'Tangguh naik kadar tol bukan makna tak konsisten' | Kementerian Kerja Raya Skip to main content

DATUK Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata tindakan kerajaan menangguhkan kenaikan kadar tol sehari selepas mengumumkannya bukan satu kesalahan dan tidak bermakna kerajaan tidak konsisten dalam melaksanakan polisinya. 

"Dalam situasi sekarang, di samping pelaksanaan pakej rangsangan (kedua) yang akan dilaksanakan untuk membantu rakyat, keputusan menaikkan tol tidak sesuai pada masanya. 

"Kalau kita buat sesuatu yang didapati tidak bersesuaian dan kita tukar semula (keputusan itu) apa kena mengena dengan 'flip-flop' (tidak konsisten)," katanya pada sidang media selepas pertemuan dengan Timbalan Pemerintah Ras Al-Khaimah Emiriah Arab Bersatu (UAE), Putera Mahkota Sheikh Saud Saqr Al Qasimi, di sini semalam. 

Perdana Menteri diminta mengulas dakwaan kerajaan tidak konsisten apabila mengubah keputusan berhubung kenaikan kadar tol di lima lebuh raya. 

Pada 26 Februari lalu, Menteri Kerjaraya, Datuk Seri Mohd Zin Mohamed mengumumkan kenaikan kadar antara lima hingga 34 peratus mulai kelmarin (1 Mac) Lebuh Raya Utara-Selatan (Plus), Lebuh Raya Sistem Penyuraian Trafik Kuala Lumpur Barat (Sprint), Lebuh Raya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (Akleh), Lebuh Raya Sungai Besi (Besraya) dan Lebuh Raya Baru Pantai (NPE). 

Bagaimanapun, keesokannya, Kabinet menangguhkan kenaikan itu selepas mengambil kira situasi ekonomi semasa dan kesejahteraan rakyat.

Abdullah berkata, langkah itu membuktikan kerajaan sentiasa memahami masalah rakyat dalam menghadapi kesan krisis kewangan global. 

"Kadangkala pemimpin kita terlajak cakap. Mungkin dia silap agaknya, namun bila menyedari keputusan itu kurang sesuai, maka tindakan membetulkannya adalah satu perkara yang baik. 

"Sebenarnya jika berdasarkan sejarah, pertimbangan (menaikkan kadar tol) dibuat ketika situasi ekonomi tidak seburuk sekarang. Masa itu (kerajaan) tidak bercadang mengeluarkan pakej rangsangan walaupun pakej rangsangan pertama berjumlah RM7 bilion sudah dikeluarkan (pada November lalu)," katanya. 

Beliau berkata, apabila persekitaran ekonomi global bertambah buruk, wajar bagi kerajaan mengkaji semula tindakannya dan membetulkan keadaan. 

"Sesuatu perkara diputuskan berdasarkan situasi pada waktu itu. Lupakan saja isu flip-flop. Jika kita terpaksa melakukan (demi kepentingan rakyat)...kita akan laksanakan," tegasnya. 

Mengulas pakej rangsangan kedua yang akan dibentangkan menerusi Bajet Mini pada 10 Mac ini, Abdullah berkata, ia bukan suntikan rangsangan terakhir. 

"Kita perlu meneliti keadaan terlebih dulu, bukan boleh buat keputusan begitu saja. Ia bergantung kepada persekitaran global. Kita juga perlu memikirkan tindakan selanjutnya bergantung kepada keadaan," katanya

Tarikh
Surat Khabar
Berita Harian