Keputusan tiada kaitan dua pilihan raya kecil: PM PUTRAJAYA: Kabinet bersetuju menangguhkan kenaikan kadar tol di lima lebuh raya yang sepatutnya berkuat kuasa esok, sehingga ke satu masa yang akan diputuskan kemudian. Keputusan itu dipersetujui pada mesyuarat Jemaah Menteri yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di sini, semalam. Di HUA HIN, Thailand, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata penangguhan itu dibuat atas pertimbangan untuk meringankan beban rakyat dan tiada kaitan dengan pilihan raya kecil kerusi Parlimen Bukit Gantang, Perak dan Dewan Undangan Negeri Bukit Selambau, Kedah, April ini. Bercakap kepada media Malaysia, Perdana Menteri berkata, Kabinet diarah membincangkan semula keputusan menaikkan kadar tol itu kerana ia tidak sejajar dengan tumpuan kerajaan untuk membantu rakyat menerusi pakej rangsangan ekonomi yang akan dibentangkan di Parlimen, 10 Mac ini. "Kenaikan itu juga nampaknya menerima tentangan yang kuat, ramai yang tidak bersetuju, jadi kabinet buat keputusan untuk menangguhkannya," katanya yang berada di bandar peranginan 240 kilometer dari Bangkok bagi menghadiri Sidang Kemuncak Asean. Kelmarin, Menteri Kerjaraya, Datuk Seri Mohd Zin Mohamed, mengumumkan kadar tol di Lebuhraya Utara-Selatan (Plus), Lebuhraya Sistem Penyuraian Trafik Kuala Lumpur Barat (Sprint), Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (Akleh), Lebuhraya Sungai Besi (Besraya) dan Lebuhraya Pantai Baru (NPE) akan dinaikkan antara 0.68 sen hingga 50 sen. Bagaimanapun, Perdana Menteri mengarahkan Kabinet mengkaji semula keputusan itu kerana kenaikan kadar tol berkenaan tidak sesuai dengan keadaan ekonomi sekarang. Abdullah berharap rakyat menghargai keputusan menangguhkan kenaikan kadar tol itu kerana kerajaan terpaksa menanggung beban yang besar, iaitu hampir setengah bilion ringgit sebagai bayaran pampasan kepada pemegang konsesi lebuh raya terbabit. Mengenai cadangan sesetengah supaya kerajaan mengambil alih konsesi lebuh raya, beliau berkata, langkah itu memerlukan kajian mendalam kerana ia membabitkan perbelanjaan yang sangat besar. Sambil berharap rakyat memahami beban yang ditanggung kerajaan ketika keadaan ekonomi yang sukar, Perdana Menteri berkata, kerajaan perlu berbelanja secara berhemah kerana ia juga perlu berbelanja untuk banyak projek pembangunan lain. Najib pada sidang medianya pula menjelaskan tempoh penangguhan kenaikan kadar tol itu akan bergantung kepada keupayaan kerajaan menanggung kos tambahan sebagai subsidi kepada pemegang konsesi lebuh raya terbabit. "Ia ditangguhkan ke satu masa yang tidak ditetapkan, kita tidak tahu lagi (tarikh menaikkan kadar tol), bergantung kepada keupayaan kerana dengan tidak menaikkan kadar tol, kerajaan terpaksa menyediakan tambahan hampir RM0.5 bilion dan itu adalah wang pembayar cukai," katanya. Najib berkata, kadar kenaikan tol yang diumumkan kelmarin adalah sederhana dan kerajaan perlu mengeluarkan subsidi yang agak besar serta bertambah setiap tahun. "Bagaimanapun, orang ramai menentang kenaikan dan itu kita faham, jadi kerajaan mengambil keputusan tidak menaikkan (kadar tol) tetapi ia juga bermakna kita perlu menyediakan lebih banyak wang untuk pampasan," katanya. Diminta menjelaskan tarikh yang tidak ditetapkan itu, Najib berkata, ia tidak bermakna kadar tol akan dinaikkan akhir tahun ini, sebaliknya keputusan akan dibuat pada masa yang sesuai. Terdahulu, Mohd Zin pada sidang media di Kuala Lumpur, berkata kenaikan kadar tol di lima lebuh raya itu ditangguhkan sehingga akhir tahun ini. Berikutan keputusan itu, Plus akan menerima pampasan sebanyak RM195 juta, Sprint (RM36 juta), Akleh (RM27 juta), NPE (RM20 juta) dan Besraya (RM9 juta). Pampasan itu dibayar di atas penangguhan mulai 1 Januari hingga 31 Disember 2009. Ditanya sama ada kerajaan bercadang mengambil alih Plus dengan membeli 35 peratus saham minoriti supaya kadar tol tidak perlu dinaikkan lagi, Mohd Zin berkata: "Kita kena tengok kemampuan kerajaan dan prinsip penswastaan, siapa yang terbabit pemegang saham, bukan saja perkara teknikal tetapi kewangan juga," katanya.