KUALA LUMPUR- Kadar tol di lima lebuh raya akan dinaikkan di antara 0.68 sen hingga 50 sen berkuatkuasa 1 Mac ini selaras dengan terma perjanjian konsesi yang telah ditandatangai antara pihak kerajaan dan pemegang konsesi lebuh raya tersebut.
Menteri Kerja Raya Datuk Seri Mohd in Mohamed berkata, kenaikan kadar tol itu melibatkan Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS), Lebuhraya Sistem Penyuraian Transit Kuala Lumpur Barat (Sprint), Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (AKLEH), Lebuhraya Sungai Besi (Besraya) dan Lebuhraya Baru Pantai (NPE).
"Bagi PLUS, kadar kenaikan tol untuk system kutipan tol tertutup PLUS (Lebuhraya Ei dan E2) akan dinaikkan sebanyak 0.68 sen sekilometer bagi kenderaan Kelas 1, bagaimanapun kenaikan itu tidak melibatkan tol di Plaza Tol Bukit Kayu Hitam, Tambak Johor dan Bangunan Sultan Iskandar," katanya pada siding akhbar di kementeriannya di sini , semalam.
Beliau berkata, Sprint-Kerinci dan Damansara Link, kadar tol dinaikkan antara 30 sen dan 50 sen bagi kenderaan kelas satu manakala bagi AKLEH, kadar tol dinaikkan sebanyak 50 sen bagi kenderaan Kelas 1.
"Kadar tol di Lebuhraya Besraya dinaikkan sebanyak 10 sen bagi kenderaan Kelas 1 dan bayaran hanya dibuat di Plaza Tol Mines berikutan Plaza Tol Salak Jaya ditutup pada 24 Februari lepas. Sementara itu bagi Lebuhraya NPE pula , kadar tol dinaikkan sebanyak 40 sen bagi kelas kenderaan yang sama," katanya.
Mohd Zin berkata, kenaikan tol tersebut sangat kecil sambil memberi contoh bahawa pengguna kenderaan kelas 1 yang membuat perjalanan menggunakan PLUS dari Jalan Duta ke Bukit Raja dengan jarak 34 kilometer mulai 1 Mac ini, hanya perlu membayar tambahan kadar tol sebanyak 30 sen sahaja daripada RM 4.60 kepada RM 4.90.
Menurutnya, dengan pemansuhan Plaza tol Salak Jaya yang ditutp pada selasa lepas, pengguna Besraya dari Jalan Istana ke Pekan Sungai Besi tidak perlu lagi membayar tol.
Beliau berkata, di samping itu, tol di lebuh raya PLUS, Sprint dan AKLEH sepatutnya dinaikkan pada 1 Januari 2008 dan telah ditangguhkan sehingga Sabtu ini, iaitu penanguhan selama 14 bulan di mana kerajaan terpaksa membayar pampasan berjumlah RM245 juta.
"Sebanyak RM177 juta pampasan dibayar kepada PLUS, RM38 juta kepada Sprint dan RM 30 juta kepada AKLEH," katanya.
Ahli Parlimen Sepang itu berkata, kenaikkan kadar tol itu telah diluluskan oleh jemaah menteri setelah menimbangkan permohonan daripada pemilik konsesi lebuh raya.
"Dokumen perjanjian konsesi lebuh raya antara pihak kerajaan dan pengendalian lebuh raya sudah menjadi dokumen awam, rakyat boleh menelitinya," katanya.