Enam jalan Kerikil di Sabah dinaik taraf | Kementerian Kerja Raya Skip to main content

BERBICARA mengenai jalan raya, penduduk di pendalaman Sabah tidak dilupakan, itulah jaminan Kementerian Kerja Raya. 

 

Keadaan jalan raya sentiasa menjadi isu hangat di situ, kata Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya Dato' Sri Dr Abduk Munit Kasmin.

 

"Jalinan jalan raya yang menghubungkan Bandar utama dengan lokasi tarikan pelancong yang terbiar dan tidak diselenggara rapi seperti Lembangan Miliau melembapkan perancangan pembangunan Bandar dan pinggir Bandar di Sabah," katanya.

 

Dr Abdul Munit menambah kementeriannya sudah mengambil langkah proaktif untuk menangani masalah ini, bermula dengan lawatan Menteri Kerja Raya, Dato'Sri Ir Mohd Zin Mohamed ke kawasan pedalaman Pensiangan yang letaknya berhampiran dengan sempadan Indonesia di  Kalimantan pada 22-24 November tahun   lalu.

 

Ekoran daripada taklimat pembangunan projek di Kota Kinabalu, Ir Mohd Zin menunjukkan minat dengan jalinan jalan raya di Sabah dengan mengadakan kunjungan demi kunjungan ke beberapa daerah di  Pensiangan.

 

Menteri juga prihatin dengan keadaan di Nabawan yang dikatakan jalinan jalan raya kedua terburuk di negeri itu selepas Pitas.

 

Katanya, penduduk tempatan di situ amat memerlukan infrastruktur yang selesa.

 

"Menteri juga meluluskan untuk menaik taraf enam jalan Kerikil kepada jalan rata berturap. Semua jalan raya ini menghubungkan sekolah dan klinik serta digunakan sebagai lalauan pengangkutan pertanian untuk dibawa ke pasar," kata Dr Abdul Munit.

 

Menyedari usaha  menaik taraf jalan raya ini memerlukan reka bentuk yang teliti, Ir Mohd Zin meminta supaya perancangan masa depan projek dilaksanakan dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9)

 

Di antara jalan raya yang di naik taraf :

 

-         Jalan raya Kampung Menawo 5.5 kilometer (Km);

-         Skim Jalan Biah (5.5 KM)

-         Jalan Ansip dalit (36.3 KM)

-         Jalan Sodomon Mailo (2KM)

-         Jalan Biah M 4 Ring Road (5km) dan

-         Laluan perhubungan Jalan Sepulut- Salung

-         Pegalungan-Pensiangan (75 KM)

 

Ir Mohd Zin juga memberitahu mengenai laluan teruk di beberapa  kampong lain seperti Kampung Pegalunan yang didiami 6,000 penduduk itu.

 

Kampung itu boleh dihubungi dengan perjalanan bot selama 45 minit dari Jeti Salung dan diikuti perjalanan dengan kenderaan pacuan empat roda menelusuri laluan balak selama tiga hari setengah.

 

"Perjalanan dengan bot juga bergantung dengan pasang surut air. Sewaktu musim kering, paras air sungai sangat rendah dan ini memaksa penduduk kampung menolak bot dalam jarak yang jauh untuk menyampaikan ke  kawasan air yang lebih dalam," kata Dr Abdul Munit.

 

Beliau berkata, penduduk kampung begitu gembira apabila melihat Ir Mohd Zin turun sendiri ke kampong itu melihat keadaan mereka.

 

Pada sesi perjumpaan dengan penduduk kampung, Ir Mohd Zin mendengar semua luahan isu dan masalah yang  yang mereka hadapi termasuklah penjagaan kesihatan yang tidak bagus.

 

Klinik yang paling hamper letaknya di Salung di mana terpaksa memakan masa yang lama untuk mereka sampai ke sana, ditambah pula dengan kos pengangkutan yang mahal iaitu RM160 seorang apabila menaiki bot.

 

"Pilihan lain ialah menggunakan laluan mengangkut balak yang juga mengambil masa beberapa jam untuk sampai ke Klinik. Ini dilihat sangat tidak praktikal terutama pada waktu kecemasan," kata Dr Abdul Munit lagi.

 

Ir Mohd Zin kemudian dengan segera meluluskan peruntukan RM 2 juta untuk membina jalan yang lebih baik yang menghubungkan Pegalungan dengan simpang Jalan Sapulut-Kalabakan.

 

Beliau juga menyediakan geran RM 5,000 bagi Kerja membaiki jeti Pegalungan yang destinasi utama perjalanan dengan bot.

 

"Kedua-dua projek ini sudah disiapkan oleh Jabatan Kerja Raya ," tambah Dr Abdul Munit,

 

Pada satu lawatan ke pejabat Daerah Sook, Ir Mohd Zin di beri taklimat mengenai ketiadaan jalan alternative menghubungi Kalakbakan ke kawasan sekitarnya seperti Serudong, Kamabong dan Pinangah.

 

Menurutnya, jalan alternatif ini sangat penting untuk merancakkan pelaburan dan ekonomi di Sabah yang berpotensi besar mewujudkan estet sawit. Minyak sawit menjadi penyumbang terbesar pendapatan Sabah.

 

Dr Abdul Munit berkata Kerja pembinaan jalan alternatif ini akan dilakukan oleh JKR sendiri. Jabatan itu sudah diarahkan oleh Menteri untuk menggunakan RM 15 juta bagi Kerja membaiki jalan di KM42 Jalan Keningau Kimanis yang terbabit dengan tanah runtuh.

 

Jalan raya itu menghubungkan Kota Kinabalu dengan Kinabalu dan beberapa kawasan pedalam yang lain.

 

Ketika itu laluan sementara dibina bagi membolehkan kenderaan kecil  menggunakanya. 

 

 

 

Tarikh
Surat Khabar
Berita Harian