Cerun runtuh Bukit Putus giat dibaiki | Kementerian Kerja Raya Skip to main content

KUALA PILAH 3 Mac - Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri dan syarikat konsesi Selia Selenggara Sdn. Bhd. kini bertungkus lumus memulihkan cerun yang runtuh akibat hujan lebat semalam di Kilometer 14.7 Jalan Seremban-Kuala Pilah di Bukit Putus di sini hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Infrastruktur, Air, Tenaga dan Telekomunikasi negeri, Datuk Ismail Lasim berkata, laluan itu kini hanya dibenarkan untuk kenderaan ringan selain bas penumpang yang berulang alik dari Seremban ke Kuala Pilah.

"Oleh kerana runtuhan itu sedalam lapan hingga 10 meter, kita bimbang berlaku pergerakan tanah di bawah cerun yang boleh memburukkan keadaan," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di Bukit Putus di sini hari ini.

Hadir sama Pengarah JKR negeri, Ir. Dr. Roslan Md. Taha serta pegawai dari Unit Cerun JKR.

Dalam kejadian semalam, lebih 10 lokasi berlaku pergerakan tanah menyebabkan sebahagiannya runtuh menutup laluan utama Seremban ke Kuala Pilah sekali gus mengakibatkan beratus-ratus kenderaan terperangkap lebih empat jam di situ.

Selain pergerakan tanah, beberapa pokok turut tumbang menyebabkan kerajaan negeri membuat keputusan menutup laluan berkenaan kepada semua kenderaan berat sejak 6 petang semalam sehingga di beritahu kelak.

"Semua kenderaan berat diarah menggunakan laluan Kuala Pilah-Johol-Tampin manakala laluan Rembau-Miku ditutup kepada semua kenderaan berikutan tanah runtuh dan membahayakan kepada kenderaan," katanya.

Kata Ismail, melalui penilaian yang dibuat jurutera Unit Cerun JKR pagi ini, cerun yang runtuh di Kilometer 14.7 itu akan dipulihkan dalam tempoh dua bulan dan ia juga bergantung kepada keadaan cuaca ketika ini.

"Buat masa ini, kita akan meletakkan kanvas supaya pergerakan tanah dapat dikurangkan," jelasnya.

 

Tarikh
Surat Khabar
Utusan Malaysia