SEREMBAN 3 Mac - Jalan utama Seremban-Mantin di Kilometer 53.8 dekat sini terpaksa ditutup berikutan tanah runtuh setelah hujan lebat melanda kawasan tersebut petang ini.
Kejadian yang berlaku pada pukul 4 petang itu menyebabkan keseluruhan laluan tersebut diliputi runtuhan tanah dan pokok tumbang sekali gus menghalang semua kenderaan.
Pengarah JKR negeri, Ir. Dr. Roslan Taha yang berada di tempat kejadian memberitahu, tiada kenderaan melalui kawasan itu ketika tanah runtuh.
Beliau berkata, jalan tersebut merupakan alternatif penduduk dari Kajang untuk ke bandar Seremban serta mereka yang mendiami kawasan di sekitar Mantin, Lenggeng dan Broga di Selangor.
''Ini kejadian kedua runtuhan tanah di situ dan siasatan awal kita mendapati ia berpunca daripada sistem perparitan yang tidak sempurna menyebabkan limpahan air sehingga berlaku pergerakan tanah," katanya kepada pemberita di sini petang ini.
Roslan menjelaskan, sehingga lewat petang ini, semua kenderaan masih lagi tidak dibenarkan melalui kawasan berkenaan kecuali motosikal.
Beliau berkata, kerja-kerja baik pulih jalan tersebut sedang giat dijalankan oleh kontraktor syarikat pembinaan Lebuh Raya Kajang-Seremban (Lekas) dan kakitangan Perbadanan IJM Berhad.
Katanya, JKR negeri juga telah meminta syarikat terbabit menyediakan segera laporan berhubung kejadian tanah runtuh itu.
Beliau juga berharap semua kerja pembersihan di tempat kejadian dapat dilakukan segera dan laluan ini boleh diguna semula malam ini.
''JKR akan memantau segala laluan di negeri ini, terutamanya di kawasan berhampiran cerun bukit serta lokasi yang dikenal pasti berlakunya kejadian tanah runtuh," jelasnya.
Sementara itu tinjauan Utusan Malaysia di tempat kejadian mendapati kesesakan berlaku apabila bilangan kenderaan mula meningkat pada sebelah petang dan pihak polis mengawal lalu lintas.
Beberapa batang pokok yang tumbang juga sudah dialih oleh pihak kontraktor dengan diawasi pegawai JKR, anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dan polis.