KKR komited perkukuh jalinan jalan raya | Kementerian Kerja Raya Skip to main content

KEMENTERIAN Kerja Raya (KKR) akan terus menaik taraf dan mengekalkan jalan raya persekutuan seperti yang dirancang di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan (RM-9) dan ini dijangka mampu mempercepatkan pertumbuhan empat koridor ekonomi yang dirancang di seluruh negara.

Sehingga kini, kira-kira 16,500 kilometer (km) jalan raya persekutuan sudah dibina manakala 1,200 km lagi sedang diwartakan di bawah Akta Jalan Persekutuan 1959.

"Kami akan terus melaksanakan tanggungjawab ini mengikut perancangan, menaik taraf dan mengekalkan jalan raya persekutuan di Semenanjung Malaysia menggunakan kepakaran rakan strategik iaitu Jabatan Kerja Raya," kata Menteri Kerja Raya, Dato? Sri Ir Mohd Zin Mohamed.

Beliau berkata, bagi Sabah dan Sarawak, jalan raya persekutuan di kedua-dua negeri itu dibina dan disenggarakan oleh rakan strategik KKR, Jabatan Kerja Raya negeri masing-masing.

Ir Mohd Zin berkata, projek pembangunan bagi jalan raya persekutuan dilaksanakan di bawah RMK-9 dengan fokusnya untuk mengukuh dan memperkemaskan jalinan jalan Persekutuan di Koridor Utara, Koridor Timur dan Iskandar Malaysia di selatan.

"Kedua, ia juga bertujuan mengekal dan meningkatkan jalinan rangkaian jalan raya Central Spine di Semenanjung Malaysia, Rangkaian Jalan Persekutuan Trans Borneo di Sarawak dan Inner Circle di Sabah, pula menjadi focus utama KKR," ujarnya.

Ir Mohd Zin berkata, dengan kerja-kerja naik taraf jalan raya Persekutuan ini, ia mampu menyediakan laluan ke kawasan pertanian dan destinasi pelancongan utama dengan selesa dan cepat, terutama di kawasan pembangunan baru di Sabah dan Sarawak.

Bagi memenuhi objektif kerajaan melalui projek ini, katanya, KKR sudah menggariskan tiga kriteria dalam Kajian Separuh Penggal RMK-9 yang akan membantu memastikan jalan raya persekutuan ini disiapkan tepat pada masanya.

"Ringkasnya, tiga kriteria utama itu ialah memberi keutamaan kepada menyiapkan rangkaian sedia ada, menaik taraf jalan raya yang kurang selamat dan membuat kajian projek yang akan dilaksanakan pada masa depan," katanya.

Beliau berkata, tumpuan khusus juga diberikan kepada Sarawak untuk menyiapkan rangkaian Trans Borneo dan menyediakan laluan ke kawasan pertanian dan sawah padi, manakala di Sabah pula ialah untuk meningkatkan kualiti jalan raya Persekutuan utama di negeri itu bagi meningkatkan kecekapan penggunaan jalan raya untuk meningkatkan kegiatan ekonomi di negeri berkenaan.

"Meskipun peruntukan di bawah RMK-9 ialah untuk meningkatkan jalan raya persekutuan tidak dihadkan, kami komited dan memastikan kementerian mampu menyiapkan tugas yang dipertanggungjawabkan kepada KKR," katanya.

Ketika menghuraikan mengenai Kajian Separuh Penggal itu, Ketua Setiausaha KKR, Dato' Sri Dr Abdul Munit Kasmin, berkata kajian adalah untuk menilai prestasi projek yang dilaksanakan pada tahun pertama RMK-9 (2006-2008) dan menjelaskan projek yang diluluskan oleh kerajaan dalam tahun 2009-2010.

Persediaan Kajian Separuh Penggal bermula pada November 2007 yang lalu dan buat kali pertama, pendekatan Hasil Kajian Impak (OBA) digunakan.

"Tujuan OBA adalah untuk memastikan program pembangunan yang dilaksana oleh Kementerian Kerja Raya ini memenuhi sasaran dan kehendak masyarakat tempatan," jelas Dr Abdul Munit.

Bagi tujuan itu, beberapa langkah diambil termasuklah mengkaji Akta dan kuasa yang diberikan kepada kementerian dan peranan ketua setiausaha sendiri dapat dimanfaatkan bagi memastikan projek dirancang betul mencapai objektif dirancang, terutama kesejahteraan rakyat.

Di samping itu, KKR juga sudah mengemas kini konsep Pengurusan Aset Jalan Raya Persekutuan, bagi memastikan aset jalan raya berada pada kualiti yang terbaik untuk membolehkan jalan raya ini menjana pertumbuhan ekonomi negara, mengatasi kesesakan jalan dan akhirnya menjimatkan kos serta masa perjalanan pengguna jalan berkenaan.

"Kami menjangkakan lebih 95 peratus belanjawan akan berjaya dikekalkan di bawah RMK-9," kata Dr Abdul Munit.

KKR menerima bajet bernilai RM19.22 bilion di bawah RMK-9 bagi menyiapkan 533 projek tetapi kemudian selepas dikaji semula, jumlah peruntukan diubah kepada RM20.36 bilion dengan 537 projek.

Dalam pakej rangsangan, bajet kepada KKR ditambah sebanyak RM753 juta lagi. Pertambahan peruntukan ini akan membolehkan jalan raya yang penting dapat disiapkan segera dan jalan yang kurang peruntukan akan di tambah bagi membolehkan jalan raya siap seperti yang di jadualkan.

Adalah diharapkan apabila tempoh RMK-9 berakhir, 20,000 KM Jalan Persekutuan akan dapat disediakan untuk kegunaan rakyat Malaysia dari Perlis hingga ke Sabah.

Tarikh
Surat Khabar
Berita Harian