Tol: Kerajaan tanggung RM286.38 juta pampasan tol | Kementerian Kerja Raya Skip to main content

KUALA LUMPUR 30 Mac - Kerajaan terpaksa menanggung kira-kira RM286.38 juta bayaran pampasan kepada syarikat konsesi akibat penangguhan kenaikan kadar tol selama setahun bagi lima lebuh raya baru-baru ini, kata Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Yong Khoon Seng.

"Akibat penangguhan kenaikan kadar tol selama setahun, mengikut terma-terma dalam perjanjian konsesi, kerajaan terpaksa menanggung sejumlah bayaran pampasan kepada syarikat konsesi terbabit," katanya menjawab soalan Senator Muhamad Yusof Husin pada persidangan Dewan Negara di sini hari ini.

Februari lepas, Kabinet memutuskan kadar tol di lima lebuh raya yang sepatutnya bermula 1 Mac lepas ditangguhkan ke tarikh yang akan ditetapkan kemudian.

Lima lebuh raya itu adalah Lebuh Raya Utara-Selatan, Lebuh Raya Sistem Penyuraian Trafik Kuala Lumpur Barat (Sprint), Lebuh Raya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (Akleh), Lebuh Raya Sungai Besi (Besraya) dan Lebuh Raya Baru Pantai (NPE).sehingga akhir tahun ini.

Yong berkata, kerajaan akan mengkaji penyelesaian jangka panjang di samping mengkaji model kewangan serta implikasi yang akan berbangkit bagi menangani isu kenaikan kadar tol pada masa akan datang.

Sementara itu, Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr. S. Subramaniam berkata, kementeriannya telah mula melaksanakan kajian ke arah mewujudkan 'Tabung Bantuan Bagi Kehilangan Pekerjaan' bagi membantu pekerja yang diberhentikan tanpa mendapat bayaran faedah tamat kerja.

"Tabung yang dicadangkan ini akan memberi manfaat kepada pekerja yang terpaksa diberhentikan kerja tanpa mendapat pampasan disebabkan majikan tidak berupaya membayar pampasan atau majikan tidak dapat dikesan," katanya menjawab soalan Senator Prof. Datuk Dr. Ismail Md. Salleh. 

Tarikh
Surat Khabar
Utusan Malaysia