Laluan tanpa henti Plus | Kementerian Kerja Raya Skip to main content

Laluan tanpa henti Plus


PLUS Expressways Berhad (Plus), pengendali projek lebuh raya Utara-Selatan secara rasmi membuka Laluan Terus Tanpa Henti Kuala Lumpur-Pulau Pinang bernilai RM283 juta kepada pengguna Lebuhraya Utara Selatan, mulai semalam.

Projek itu adalah lanjutan kepada projek pelebaran lorong ketiga membabitkan laluan antara Seremban dan Ayer Keroh serta Rawang dan Slim River yang dijalankan Projek Lebuhraya Utara Selatan (Plus).

Pengerusi Expressways Berhad, Datuk Mohd Sheriff Mohd Kassim, berkata projek itu dimulakan pembinaannya Jun tahun lalu dengan pembinaan Plaza Tol Ipoh Utara (arah Selatan).

Pengguna dari Kuala Lumpur kini tidak lagi perlu berhenti di Plaza Tol Ipoh Selatan dan Plaza Tol Ipoh Utara untuk membayar dan mengambil semula tiket ketika meneruskan perjalanan ke utara, begitu juga sebaliknya. “Melalui pembukaan laluan ini, masalah kesesakan di lebuh raya itu dapat diatasi kerana penduduk tempatan yang mahu ke bandar sekitar Ipoh tidak lagi berkongsi laluan sama dengan pengguna yang hendak ke utara
“Malah secara tidak langsung ia sekali gus meningkatkan tahap perkhidmatan lebuh raya dan memberi kemudahan kepada pengguna selain menjimatkan masa,” katanya pada Majlis Perasmian Laluan Terus Tanpa Henti Kuala Lumpur-Pulai Pinang.

Katanya, Plaza tol Jelapang yang sebelum ini banyak meragut nyawa dirobohkan dan dibina semula 800 meter ke arah selatan dari lokasi asalnya dan digantikan dengan PlazaTol Ipoh Utara.

Kerja-kerja pengubahsuaian antara Tol Ipoh selatan dan Jelapang meliputi pengalihan plaza tol ke jalan susur di luar laluan utama dan pembinaan laluan tanpa tol bersebelahan lebuh raya untuk lalulintas tempatan.

Laluan sepanjang 14.7 kilometer (km) antara Plaza Tol Ipoh Utara dan Ipoh Selatan diubahsuai mulai Jun tahun lalu dan mula dibuka secara berperingkat kepada lalu lintas beberapa bulan kemudian.

Kedua-dua plaza tol baru akan melancarkan lalu lintas dengan menyediakan 36 lorong tol termasuk lorong tambah nilai selain lorong tunai dan Touch n’ Go.

“Selain itu, plaza tol ini juga menyediakan kemudahan lain seperti pusat khidmat pelanggan, surau, tandas dan tempat meletakkan kenderaan bagi keselesaan pengguna,” katanya.
 

Tarikh
Surat Khabar
Harian Metro