DBKL mahu tahu punca mendap | Kementerian Kerja Raya Skip to main content

Perunding projek Jalan San Peng diarah kemuka laporan secara terperinci 

KUALA LUMPUR: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengarahkan perunding projek pusat beli-belah yang dibina berhampiran kejadian tanah mendap sekitar kuarters Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di Jalan San Peng di sini, mengemukakan kembali laporan awal, selewat-lewatnya hari ini. 

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Ahmad Fuad Ismail, berkata laporan awal berkenaan perlu menyatakan secara terperinci punca kejadian tanah mendap itu serta penyelesaian yang akan dilakukan untuk memastikan perkara sama tidak berulang. 

“Pada Isnin lalu, perunding menghantar laporan awal itu kepada DBKL tetapi keesokannya kami mengadakan perjumpaan dengan perunding untuk memaklumkan laporan berkenaan ditolak kerana ia tidak lengkap dan tidak menyatakan sebab kejadian tanah mendap berkenaan. 

“Berikutan itu, kita minta perunding buat laporan baru yang mengandungi maklumat terperinci mengenai sebab kejadian berkenaan selewat-lewatnya esok (hari ini) kerana ia akan diserahkan kepada Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Raja Nong Chik Zainal Abidin dan Kabinet,” katanya pada sidang media di sini, semalam. 

Hadir sama, Ketua Pengarah DBKL, Datuk Salleh Yusop. 
Dalam kejadian Sabtu lalu, sebahagian Jalan San Peng mendap dan runtuh mengakibatkan penghuni kuarters Jabatan Kerja Raya (JKR) dan DBKL di kawasan berhampiran diarah pindah apabila 22 unit kuarters itu didapati tidak selamat untuk diduduki. 

Ahmad Fuad berkata, DBKL juga sudah mengarahkan perunding supaya menghantar laporan lengkap yang antaranya perlu menyatakan sebab kejadian, langkah penyelesaian dan tahap keselamatan projek, dalam tempoh sepuluh hari bermula semalam. 

“Ini kerana, DBKL percaya kejadian itu bukan hanya berpunca daripada paip pecah semata-mata tetapi membabitkan beberapa faktor lain seperti berlaku pergerakan tanah, kenaikan mendadak paras air menyebabkan berlakunya tolakan kepada ‘contiguous board pile’ yang dibina sekali gus menyebabkan ia patah. 

“Saya difahamkan perunding mempunyai maklumat terperinci mengenai aspek dan tahap keselamatan projek berkenaan dan punca kejadian, jadi kami ingin tahu mengenai perkara itu untuk memudahkan penyelesaian di masa depan,” katanya. 

Tarikh
Surat Khabar
Berita Harian