JKR anjur program motivasi | Kementerian Kerja Raya Skip to main content

BANDAR BARU SALAK TINGGI - Bagi meningkatkan kefahaman kakitangan dan warga kerjanya, Jabatan Kerja Raya (JKR) Selangor menganjurkan Kursus Motivasi dan Peningkatan Semangat Kerja kepada 48 pekerjanya daripada kumpulan sokongan 2, dari seluruh daerah di negeri ini. 

Jurucakap program memberitahu, program itu dianjurkan bagi menerangkan kepada peserta berkenaan prosedur dan amalan murni dalam perkhidmatan. 

Selain itu, kursus itu bertujuan untuk mendidik dan menyemai sikap bertanggungjawab terhadap tugas serta amanah yang diberikan oleh Ketua Jabatan. 

”Sepanjang dua hari program berlangsung, pelbagai pengisian diaplikasikan dalam aktiviti bagi meningkatkan semangat bekerjasama dalam mengukuhkan semangat berpasukan sesama kakitangan dalam mencapai visi dan misi jabatan,” katanya. 

Sementara itu, penceramah khas dari Baha Creative Consultants, Baharom Abu Bakar yang memberikan motivasi kepada peserta berkata, sepanjang program pihaknya menggunakan konsep pembangunan insan dalam usaha meningkatkan motivasi peserta. 

Menurutnya, konsep pembangunan insan berasaskan spiritual, pembangunan jiwa dan kalbu bagi mendekati peserta. 

“Hati, ilmu dan akal merupakan elemen terpenting dalam pembentukan kesedaran agar seseorang itu lebih bermotivasi dan mempunyai kesedaran untuk lebih bersemangat. 

“Dalam konteks kursus motivasi ini, pendekatan yang digunakan adalah dengan cara menyentuh hati peserta bagi membangkitkan kesedaran kepada mereka bahawa diri mereka adalah sangat berharga,” katanya. 

Selain itu menurutnya, dalam salah satu pengisian yang diterapkan, peserta turut digalakkan untuk terus berusaha dan menimba ilmu sepanjang hayat, membina ikatan silaturahim antara mereka serta mengharai keluarga bagi meraih keberkatan dalam kehidupan. 

”Kita turut menekankan semangat kerja berpasukan memandangkan dalam konteks pekerjaan yang mereka hadapi dalam urusan seharian, aspek kerja berkumpulan memainkan peranan terpenting dalam memastikan kejayaan mereka,” katanya.  

Tarikh
Surat Khabar
Sinar Harian