KLANG 8 Jun - Kementerian Kerja Raya akan menaiktaraf tiga jalan raya di bandar ini yang menjadi jalan alternatif untuk mengurangkan kesesakan lalu lintas ekoran kerja-kerja pembinaan laluan bertingkat Kapar-Klang.
Menterinya, Datuk Shaziman Abu Mansor berkata, sehubungan itu peruntukan sebanyak RM2.2 juta diluluskan bagi tujuan tersebut yang melibatkan Jalan Kapar, Jalan Meru dan Jalan Sireh.
"Kementerian telah meneliti permintaan JKR Selangor bagi mengurangkan kesesakan pengguna yang melalui kawasan projek pembinaan di Jalan Sultan Ibrahim.
"Dalam masa yang sama, JKR, Majlis Perbandaran Klang (MPK) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan bekerjasama serta mencari kaedah sesuai bagi menentukan arah mana yang perlu diikuti oleh pengguna jalan raya di laluan alternatif berkenaan," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika mengadakan lawatan di tapak projek pembinaan laluan bertingkat Kapar-Klang di sini hari ini.
Projek berkenaan yang dilaksanakan oleh syarikat pemaju, SPAZ Sdn. Bhd. (SPAZ) dengan melibatkan kos asal sebanyak RM32.2 juta sepatutnya siap pada 14 Disember tahun ini.
Bagaimanapun, ia telah dilanjutkan kepada 10 September 2010 berikutan beberapa masalah teknikal apabila terdapat bongkah-bongkah konkrit tertanam sedalam dua meter di kawasan pembinaan terbabit.
Menurut Pengarah Urusan SPAZ, Mohd. Azami Idris, bongkah-bongkah konkrit setebal 450 milimeter itu perlu dikeluarkan terlebih dahulu sebelum pihaknya memulakan kerja-kerja memasukkan binaan baru ke dalam tanah di kawasan tersebut.