Sambutan Hari Integriti KKR – Mengukuhkan Imej Kementerian
Sambutan Hari Integriti KKR – Mengukuhkan Imej Kementerian
KUALA LUMPUR, 13 NOVEMBER 2019 - Majlis Sambutan Hari Integriti 2019 peringkat Kementerian Kerja Raya telah diadakan dengan tema “Integriti Utuh, KKR Teguh” membawa maksud nilai-nilai integriti yang utuh perlu ada dan tersemat dalam diri setiap warga KKR demi keteguhan mempertahankan imej Kementerian.
Sambutan Hari Integriti Kebangsaan diraikan pada setiap 5 November dan mula diperkenalkan pada tahun 2005. Kerajaan Persekutuan juga telah menubuhkan Pusat Governans, Integriti dan Anti Rasuah (GIACC) dan pengenalan Pelan AntiRasuah Nasional (NACP: 2019-2023) untuk mencapai aspirasi supaya ‘Malaysia dikenali kerana integriti dan bukannya rasuah’.
Program ini telah dianjurkan Unit Integriti, KKR dan dirasmikan oleh Menteri Kerja Raya, YB Tuan Baru Bian yang turut melancarkan Polisi Tiada Hadiah (No Gift Policy) di peringkat Kementerian. Menerusi polisi ini, warga Kementerian tidak dibenarkan menerima sebarang bentuk hadiah atau sumbangan daripada pihak pelanggan dan mana-mana pihak yang mempunyai urusan rasmi dengan Kementerian. Ini sebagai langkah pencegahan untuk mengukuhkan integriti serta profesionalisme warga Kementerian daripada terjebak dengan perlakuan rasuah, penyelewengan serta penyalahgunaan kuasa.
Penubuhan Unit Integriti di peringkat Kementerian yang diketuai oleh Pegawai Kanan SPRM dan penempatan Pegawai SPRM di Pejabat Anggota Pentadbiran mencerminkan inisiatif pengukuhan governans di KKR. Ia penting sebagai mekanisme kawalan dalaman untuk memastikan pengurusan pentadbiran Kementerian bebas daripada perlakuan rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan dan memperkukuhkan integriti.
- Log in to post comments