Amalan Terbaik SOP Mampu Menghalang Penularan Covid-19 Di Tapak Pembinaan
Amalan Terbaik SOP Mampu Menghalang Penularan Covid-19 Di Tapak Pembinaan
KOTA KEMUNING, 3 JUN 2020 - Amalan terbaik Prosedur Operasi Standard (SOP) mampu menghalang penularan wabak COVID-19 di tapak pembinaan dan akan membolehkan projek-projek pembinaan diteruskan bagi memangkin pembangunan ekonomi negara. Ini penting memandangkan sumbangan besar sektor pembinaan yang mencatatkan purata nilai projek sebanyak RM140 billion setahun. Ia juga mempunyai nilai gandaan (multiplier effect) sebanyak 2 kali ganda.
Justeru, bagi meninjau amalan pematuhan SOP berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) oleh penggiat industri pembinaan di tapak pembinaan satu lawatan ke Tapak Projek Pembangunan Bercampur TwentyFive Seven di Kota Kemuning telah diadakan. Lawatan ini diketuai YB Dato’ Sri Haji Fadillah Haji Yusof Menteri Kanan Kerja Raya dan hasilnya mendapati pemaju projek, serta kontraktor mempunyai keupayaan untuk mematuhi SOP, dan melaksanakan projek secara norma baru. Antara inisiatif yang diambil adalah membangunkan aplikasi khas bagi merekodkan kehadiran serta status kesihatan pekerja dan mengesan pergerakan pekerja supaya tidak melepasi kawasan projek semasa waktu bekerja. Selain itu, kontraktor tersebut juga mengasingkan tempat rehat bagi pekerja mengikut bidang di aras berlainan di tapak pembinaan untuk memastikan penjarakan sosial pada waktu rehat.
Dari 20 April sehingga 2 Jun 2020, Lembaga Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) telah memeriksa sebanyak 6,363 tapak pembinaan seluruh negara. Dari jumlah tersebut, sebanyak 1,398 (22%) telah mula beroperasi, manakala 4,965 (78%) belum beroperasi. Dari sejumlah 1,398 tapak yang telah beroperasi, sebanyak 1,118 (80%) didapati mematuhi SOP, sementara 272 (19%) didapati tidak patuh dan diberi amaran, dan 8 (1%) tapak pembinaan telah diarah tutup.
Hadir sama dalam lawatan pada hari ini adalah, Ketua Setiausaha, Kementerian Kerja Raya Malaysia, Dato’ Dr. Syed Omar Sharifuddin Bin Syed Ikhsan; Ketua Eksekutif, CIDB Malaysia, Datuk Ir. Ahmad ‘Asri Bin Abdul Hamid; Timbalan Ketua Eksekutif, CIDB Malaysia, Datuk Ir. Elias Ismail; Pengarah Urusan, Gamuda Engineering, Dato’ Ubull Din Om; Pengarah Kumpulan Eksekutif, Gamuda Berhad, Dato’ Haji Azmi Bin Mat Nor dan Pengarah Eksekutif, Gamuda Land, Dato’ Haji Abdul Sahak Bin Safi.
- Log in to post comments