Projek Menaiktaraf Laluan 8101 Jalan Datuk Mohd Musa Kota Samarahan | Kementerian Kerja Raya Skip to main content
1

Projek Menaiktaraf Laluan 8101 Jalan Datuk Mohd Musa Kota Samarahan

KOTA SAMARAHAN, SARAWAK, 27 JUN 2020 - Projek Menaiktaraf Jalan Datuk Mohd Musa, Laluan 8101 Kota Samarahan merupakan satu inisiatif Kerajaan dalam menyediakan infrastruktur jalan raya yang lebih selesa dan selamat kepada hampir 23000 pengguna jalan raya Persekutuan tersebut.  Majlis Pecah Tanah Projek bernilai RM229 juta ini telah dirasmikan oleh YB Dato’ Sri Haji Fadillah bin Haji Yusof, Menteri Kanan Infrastruktur – Menteri Kerja Raya. 

Projek menaiktaraf sepanjang 11.6 kilometer (km) ini dijangka disiapkan dalam tempoh tiga (3) tahun. Jalan Datuk Mohd Musa merupakan arteri penghubung terpenting di antara Kota Samarahan dengan Kota Sentosa dan Kota Padawan yang sedang mengalami pembangunan pesat kawasan perumahan baharu dan pembukaan kilang. Pembangunan pesat ini turut didorong oleh aktiviti edu-tourism dan medi-tourism di Kota Samarahan. Justeru dengan menaiktaraf jalan raya ini bukan sahaja memberi keselesaan, penjimatan masa perjalanan, bahkan melonjakkan lagi pembangunan ekonomi setempat. 

Surat Setuju Terima (SST) projek telahpun dikeluarkan pada 17 Mac 2020 kepada pihak Kontraktor Musyati Sdn. Bhd. yang telah berjaya dalam perolehan secara Tender Terbuka ini. Kaedah pelaksanaan pula adalah secara Konvensional Perunding dengan konsultan yang dilantik adalah syarikat Jurutera TCS Sdn. Bhd. Namun kerja-kerja fizikal pembinaan telah mengalami sedikit kelewatan berbanding perancangan asal disebabkan oleh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermula pada 18 Mac sehingga 28 April 2020 lalu.

Skop projek ini adalah menaiktaraf jalan 2 lorong 2 hala sedia ada (R5, JKR Standard) kepada  jalan 4 lorong 2 hala, dengan piawaian U5, JKR Standard sepanjang 11.6km, menaiktaraf jambatan sedia ada kepada 4 lorong merentasi Sungai Sarawak (Jambatan Sg. Semengo, Jambatan Sg. Keranji, Jambatan Sg. Kuap).

Selain itu, termasuk di dalam skop adalah penjajaran bermula dari Batu 8 1/2  Jalan Kuching - Serian (main trunk road), melalui Jalan Datuk Mohd Musa sehingga ke bulatan Jalan Datuk Mohd Musa / Kuching Outer Ring Road dan menambahbaik infrastruktur di kawasan sekitar Jalan Datuk Mohd Musa yang kini sedang mengalami pembangunan pesat seperti pembangunan kawasan perumahan, institusi pendidikan tinggi, pusat komersial dan pusat pentadbiran kerajaan.

Tarikh Dan Waktu Acara
Gambar Berita
1
2
3
4
5
6
7