Penyerahan Surat Setuju Terima (SST) Dan Pecah Tanah Projek Blok Tambahan Hospital Tuanku Ampuan Najihah, Kuala Pilah, Negeri Sembilan
Penyerahan Surat Setuju Terima (SST) Dan Pecah Tanah Projek Blok Tambahan Hospital Tuanku Ampuan Najihah, Kuala Pilah, Negeri Sembilan
KUALA PILAH, NEGERI SEMBILAN, 9 MAC 2021 - YB Dato’ Eddin Syazlee Bin Shith, Timbalan Menteri Kerja Raya telah menyerahkan Surat Setuju Terima (SST) dan merasmikan pecah tanah Projek Pembinaan Bangunan Tambahan Hospital Tuanku Ampuan Najihah, Kuala Pilah, Negeri Sembilan.
Matlamat pembinaan Projek Bangunan Tambahan Hospital Tuanku Ampuan Najihah ini adalah untuk merealisasikan perkhidmatan kesihatan terkini dan bertaraf moden serta memberi penambahbaikan dari segi fungsi hospital sebagai hospital pakar residen yang menyediakan perkhidmatan penjagaan kesihatan sekunder.
Dengan pertambahan 114 katil untuk projek ini, ia akan menjadikan jumlah keseluruhan katil bagi Hospital ini berkapasiti 458 katil dan bakal memberikan sinar dan harapan baharu bagi penduduk sekitar daerah Kuala Pilah, Jempol, Jelebu dan Tampin serta kawasan bersempadan dengan negeri Pahang.
Projek ini dilaksanakan secara reka dan bina serta tender terbuka pra kelayakan. Peruntukan yang telah diluluskan bagi pembinaan projek ini berjumlah RM139.35 juta dan skop projek bagi pembinaan bangunan tambahan hospital baharu ini melibatkan pembinaan dengan keluasan lantai 22,700 meter persegi di atas tanah berkeluasan 4.18 ekar. Kerja – kerja pembinaan akan bermula pada 10 Mac 2021 dan projek ini dijadualkan siap pada Ogos 2024.
- Log in to post comments