Pembentangan Pencapaian Setahun KKR | Kementerian Kerja Raya Skip to main content
1

Pembentangan Pencapaian Setahun KKR

Pembentangan Pencapaian Setahun KKR

KUALA LUMPUR, 4 MAC 2021 - Kementerian Kerja Raya (KKR) telah berjaya mencapai Indeks Prestasi Utama (KPI) 99 peratus menerusi pelaksanaan projek dan program sepanjang tahun lepas sungguhpun negara dilanda Pandemik COVID-19.

Menteri Kanan Kerja Raya, YB Dato’ Sri Haji Fadillah Bin Haji Yusof membentangkan pencapaian setahun ini kepada media pada satu majlis yang diadakan di Kompleks Kerja Raya. Sejumlah 131 projek dilaksanakan di bawah KKR dengan 111 projek telah disiapkan bernilai RM3.955 bilion pada tahun lepas.

Menerusi peruntukan sebanyak RM450 juta di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi (PRE) ia berjaya memberi manfaat kepada 962 kontraktor kecil G1 hingga G4. Sejumlah 1,056 projek terlibat, dengan pencapaian kemajuan kewangan sebanyak 94.6 peratus menerusi peruntukan tambahan PRE yang diterima KKR, bagi memberi peluang pekerjaan kepada kontraktor kecil serta membantu merancakkan pertumbuhan ekonomi.

Menerusi Pakej Prihatin Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) pula, sebanyak 416,922 penggiat industri menerima manfaat daripada pakej tersebut yang bertujuan meringankan beban kewangan kontraktor serta memberi peluang pekerja binaan menjalani kursus dengan CIDB, membabitkan peruntukan berjumlah RM63.2 juta.

Prestasi cemerlang kementerian itu turut dapat dilihat melalui Projek Central Spine Road (CSR) sepanjang 310.1 kilometer (km) di Kelantan dan Pahang, dengan kos keseluruhan yang telah diluluskan berjumlah RM7.57 bilion dan telah pun dimulakan secara berperingkat dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9).

Status projek ini adalah 66.53 km telah siap, 92.17 km dalam pembinaan, 64.85 km peringkat perolehan dan 78.35 km peringkat perancangan. Projek pembinaan infra rakyat ini juga termasuk projek Lebuhraya Kota Bharu ke Kuala Krai, Kelantan (KBKK) sepanjang 71.4 km merangkumi tiga pakej dan status projek siap sepanjang 13.85 km dengan kos keseluruhan telah diluluskan RM2.34 bilion. Mengenai Lebuhraya Pan Borneo, status projek siap masing-masing mencatatkan 60 peratus di Sarawak dan 45 peratus di Sabah.

Pencapaian juga dapat disaksikan menerusi kejayaan projek pembinaan infra rakyat iaitu Jambatan Putra di Tanjung Lumpur, Pahang dan jejambat dari persimpangan Bukit Setongkol ke Kemunting, Jalan Kuantan-Gambang, Pahang. Projek yang menelan belanja RM205.5 juta ini bertujuan menyediakan kemudahan jalan lebih selamat dan selesa selaras pembangunan sekitar Bandar Kuantan itu telah disiapkan pada 25 September 2020 dan dirasmikan pada 21 Februari 2021.

Selain itu, projek menaik taraf Jalan Persekutuan 5 (FR5) sedang giat dilaksanakan. Jajaran Tanjong Karang - Sabak Bernam, Selangor dijangka siap pada 15 Disember 2021 dengan kos projek berjumlah RM807.7 juta manakala jajaran Teluk Intan-Kampung Lekir, Perak juga dijadual siap pada 6 Ogos 2021 dengan kos RM706.55 juta.

Dalam aspek keselamatan pengguna jalan raya pula, sebanyak 159 lokasi di Jalan Persekutuan seluruh negara yang kerap berlaku kemalangan telah diperbaiki tahun lepas menerusi perbelanjaan sebanyak RM43.1 juta. Manakala bagi lebuhraya pula, 10 lokasi blackspot (kawasan kemalangan) di seluruh negara telah diperbaiki untuk keselamatan 4.5 juta pengguna lebuh raya dengan kos RM1.2 juta.

Selain itu, KKR telah membangunkan Pelan Pembangunan Rangkaian Jalan Raya 2030 (HNDP 2030) bagi mengenal pasti keperluan infrastruktur jalan di Semenanjung Malaysia untuk memastikan wujud jaringan perhubungan jalan raya yang baik buat kemudahan rakyat.

Dokumen ini menggariskan keutamaan pelaksanaan kepada projek berimpak tinggi, mampu menjana dan memperkukuh pertumbuhan ekonomi, serta akan menjadi rujukan utama KKR dan agensi berkaitan untuk projek jalan baharu dan naik taraf untuk tahun 2021 sehingga tahun 2030 (RMK12 dan RMK13).

Sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), KKR telah meningkatkan usaha digitalisasi kementerian bagi mempercepatkan proses permohonan tender memandangkan terdapat kontraktor yang tidak dibenarkan merentas sempadan dan tidak dapat membeli atau menghantar dokumen tender. Usaha tersebut adalah sistem perolehan secara dalam talian yang membolehkan kontraktor boleh muat turun dokumen tender seterusnya menghantar semula secara fizikal atau kurier.

Berhubung satu peratus KPI yang tidak dipenuhi, Menteri Kanan Kerja Raya menjelaskan antara faktor yang menyebabkan penangguhan projek termasuk pelaksanaan PKP 1.0, yang menyebabkan pergerakan bekalan bahan binaan antara negeri yang terbatas. Bagi projek kerajaan di bawah kelolaan Jabatan Kerja Raya, lanjutan tempoh sewaktu PKP 1.0 adalah selama 114 hari manakala projek Lembaga Lebuhraya (LLM) turut diberikan lanjutan automatik.

Sementara itu KKR turut menganggarkan lebih RM200 juta untuk penambahbaikan jalan raya yang rosak teruk akibat banjir dan penambahbaikan kekal bakal dilaksanakan secepat mungkin selepas mendapat kelulusan peruntukan.

Tarikh Dan Waktu Acara
Gambar Berita
1
2
3
4
5
6
7
8