Penyerahan Projek Pembinaan Persimpangan Bertingkat Di Pekan Tanah Merah, Kelantan Dan Majlis Penyampaian Surat Setuju Terima (SST) 2 Projek | Kementerian Kerja Raya Skip to main content
1

Penyerahan Projek Pembinaan Persimpangan Bertingkat Di Pekan Tanah Merah, Kelantan Dan Majlis Penyampaian Surat Setuju Terima (SST) 2 Projek

Penyerahan Projek Pembinaan Persimpangan Bertingkat Di Pekan Tanah Merah, Kelantan Dan Majlis Penyampaian Surat Setuju Terima (SST) 2 Projek

KUALA LUMPUR, 3 MAC 2021 - Menteri Kanan Kerja Raya, YB Dato’ Sri Hj Fadillah Bin Hj Yusof hari ini hadir untuk menyaksikan Majlis Penyerahan Projek Persimpangan Bertingkat (Elevated TJunction) di atas Lintasan Keretapi di Pekan Tanah Merah, Kelantan melalui sesi Menandatangani Dokumen Penyerahan Projek oleh Ketua Setiausaha KKR dan Pengarah Projek JKR.

Projek reka dan bina ini di bawah seliaan Cawangan Jalan, Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia dan dilaksanakan oleh kontraktor After Image Sdn. Bhd. dengan kos sebanyak RM159 juta. Ia mula dibina pada 19 Ogos 2016 dan siap pada 22 Disember 2020. Skop projek merangkumi pembinaan Elevated T-Junction di atas KM 29 Jalan Pasir Mas-Tanah Merah (FT129) dan Laluan (FT259) Jalan Yahya Petra, menaiktaraf jalan sedia ada, pemasangan lampu jalan, lampu isyarat dan pembinaan persimpangan U.

Pelaksanaan projek ini amat strategik dan bersesuaian berikutan Bandar Tanah Merah merupakan kawasan yang sedang pesat membangun dan merupakan pusat aktiviti ekonomi penduduk setempat. Limpahan kenderaan terutamanya pada waktu puncak telah mengakibatkan berlakunya kesesakan lalulintas dan keadaan ini bertambah teruk dengan adanya laluan keretapi di tengah-tengah bandar.

Pada majlis sama, diadakan Penyampaian Surat Setuju Terima (SST) kepada kontraktor yang berjaya memperolehi pelawaan dua (2) projek iaitu Projek UMS - Pembinaan Jalan Masuk Utama dan Projek Lebussthraya Kota Bharu – Kuala Krai (KBKK) Pakej 2C & 3A; Kok Lanas ke Bukit Tiu.

Projek UMS di bawah kementerian pelanggan iaitu Kementerian Pengajian Tinggi, melibatkan pembinaan jalan masuk utama sepanjang 1.5 kilometer (km) ke Hospital Pengajar Universiti Malaysia Sabah (HUMS). Tarikh milik tapak adalah pada 15 Mac 2021 dan tempoh kontrak adalah selama 24 bulan dengan nilai kontrak RM18.9 juta.

Bagi projek Lebuhraya Kota Bharu Ke Kuala Krai (KBKK), Pakej Kok Lanas Ke Bukit Tiu, Kelantan akan dibina jalan raya sepanjang 19.13 km dimana ia adalah sebahagian daripada keseluruhan jajaran iaitu 71.4 km. Jajaran ini merupakan cadangan jajaran baharu yang selari dengan jalan Laluan Persekutuan 8 (FT8). Ia akan bersambung dengan jajaran Central Spine Road (CSR) yang bermula dari Kuala Krai, Kelantan ke persimpangan Lebuhraya Pantai Timur di Karak. Tarikh Milik Tapak projek ini adalah pada 7 Mac 2021 dan dijangka siap pada Mac 2024 dengan Nilai Kontrak berjumlah RM389.5 juta.

Tarikh Dan Waktu Acara
Gambar Berita
1
2
3
4
5
6