Majlis Pelancaran Program Solar Energy Purchasing (SEP) Untuk Bangunan KKR & JKR | Kementerian Kerja Raya Skip to main content
1

Majlis Pelancaran Program Solar Energy Purchasing (SEP) Untuk Bangunan KKR & JKR

Majlis Pelancaran Program Solar Energy Purchasing (SEP) Untuk Bangunan KKR & JKR

KUALA LUMPUR, 16 MAC 2021 - Kementerian Kerja Raya (KKR) hari ini melancarkan Program Solar Energy Purchasing (SEP) iaitu inisiatif pemasangan Sistem Solar Photovoltaic (PV) di bangunan Kementerian Kerja Raya dan Jabatan Kerja Raya Malaysia bagi memperoleh penjimatan bil elektrik bulanan. Pemilik bangunan atau pengguna akan menikmati zero upfront cost dan zero capex melalui satu mekanisme penyewaan di bawah perjanjian Supply Agreement for Renewable Energy (SARE).

Penyerahan Surat Tawaran Program SEP ini telah disampaikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya, Datuk Dr. Syed Omar Sharifuddin Syed Ikhsan kepada Datuk Ir. Megat Jalaluddin Megat Hassan, CRO Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan disaksikan oleh Menteri Kanan Kerja Raya, YB Dato Sri Fadillah Yusof.

Pelaksanaan Program SEP ini adalah selaras dengan Skim Pemeteran Tenaga Bersih atau Net Energy Metering (NEM) yang telah diperkenalkan Kerajaan bagi menggalakkan penggunaan Tenaga Boleh Diperbaharui di Malaysia disamping menjimatkan bil elektrik pengguna. Kerajaan telah memperkenalkan program Net Energy Metering 3.0 (NEM 3.0) yang bertujuan untuk memberi lebih banyak peluang kepada pengguna elektrik untuk menjimatkan bil elektrik melalui pemasangan sistem solar di premis pengguna termasuk bangunan-bangunan Kerajaan menerusi inisiatif NEM GoMEN.

Jabatan Kerja Raya Malaysia telah berkolaborasi dengan rakan strategiknya iaitu TNB serta anak syarikatnya GSPARX Sdn Bhd dengan Perjanjian Persefahaman yang telah dimeterai sebelum ini bagi mempelopori dan mengkaji potensi inisiatif dalam bidang Tenaga Boleh Diperbaharui (Renewable Energy – RE) khususnya teknologi Solar Photovoltaic (PV) di bangunan Kementerian Kerja Raya dan Jabatan Kerja Raya Malaysia.

Turut dimeterai adalah perjanjian Supply Agreement for Renewable Energy (SARE) bagi pelaksanaan program rintis yang melibatkan bangunan KKR, bangunan Ibu Pejabat JKR Malaysia serta sepuluh (10) buah bangunan JKR Elektrik Negeri dengan jumlah sasaran kapasiti solar terpasang sebanyak 1.2 MegaWatt (MW).

Inisiatif pemasangan sistem solar ini menunjukkan komitmen KKR dalam menyumbang ke arah masa hadapan yang lebih lestari disamping dapat menjimatkan kos operasi tahunan.

Kementerian mensasarkan penjimatan tenaga sehingga RM9.27 juta bagi tempoh perjanjian selama 21 tahun dimana penjimatan tahun pertama dianggarkan sebanyak hampir RM200,000.00.

Ini adalah merupakan penjimatan segera yang akan dinikmati oleh pihak KKR dan JKR Malaysia tanpa mengeluarkan sebarang kos pemasangan dan kos penyelenggaraan disamping dapat mengurangkan perbelanjaan kos bayaran utiliti bulanan. Penjanaan tenaga daripada sumber sistem solar yang mesra alam ini dijangka dapat menghasilkan 1,400 MegaWatt hour (MWh) setahun bersamaan pengurangan pelepasan karbon sebanyak 819 tan CO2 setahun.

Pelaksanaan program rintis ini, mampu menjadi pemangkin bagi pemasangan sistem solar di keseluruhan bangunan-bangunan KKR dan JKR Malaysia di seluruh Negara. Dianggarkan, Kementerian ini sahaja mampu menyumbang hampir 10% daripada kuota NEM GoMEn dengan penjimatan bil elektrik sehingga RM70 juta sepanjang tempoh perjanjian.

Tarikh Dan Waktu Acara
Gambar Berita
1
2
3
4
5
6
7
8
9
10