Pembukaan Jalan Central Spine Jajaran Bentong Tingkatkan Keselesaan Pengguna | Kementerian Kerja Raya Skip to main content
244683231_229824179183798_4030022399445422663_n.jpg

Pembukaan Jalan Central Spine Jajaran Bentong Tingkatkan Keselesaan Pengguna

Pembukaan Jalan Central Spine Jajaran Bentong Tingkatkan Keselesaan Pengguna

BENTONG, PAHANG, 7 OKTOBER 2021 – Dua lagi Seksyen Jalan Central Spine di Negeri Pahang dibuka secara rasmi pada hari ini, demi memenuhi keperluan infra rakyat dan meningkatkan lagi keselesaan pengguna jalan raya, khususnya di kawasan berkenaan.

Dua (2) seksyen tersebut adalah Seksyen 5C iaitu dari Kampung Asap ke Kampung Sertik dan Seksyen 5D iaitu Bentong Bypass. Jajaran Seksyen 5C dan 5D bermula dari Jalan Susur Lebuhraya Kuala Lumpur – Karak (Lebuhraya Pantai Timur – LPT) melalui Persimpangan Benus, Bulatan Mempaga dan berakhir di Persimpangan Keruntung, Pahang. Laluan ini telah diwartakan menjadi Jalan Persekutuan 34 (Jalan Central Spine), dengan panjang jajaran yang dibuka pada hari ini ialah 22.3 kilometer (km). Ini menjadikan jumlah keseluruhan jajaran Jalan Central Spine yang dibuka kepada pengguna adalah sepanjang 89.25 kilometer.

Perasmian penyerahan projek disempurnakan oleh Menteri Kanan Kerja Raya, YB Dato’ Sri Haji Fadillah bin Haji Yusof dan Menteri Besar Pahang, YAB Dato’ Sri Wan Rosdy bin Wan Ismail.

Kedua-dua seksyen ini merupakan subpakej kepada Pakej 5, Jalan Central Spine yang mempunyai enam pakej secara keseluruhan. Projek Seksyen 5C telah dimulakan pada 5 November 2015 dan telah disiapkan pada 30 Oktober 2018 dengan panjang jajaran sepanjang 5.78 kilometer. Manakala untuk Seksyen 5D, projek telah dimulakan pada 18 April 2016 dan telah disiapkan pada 20 April 2021 dengan panjang jajaran sepanjang 22.72 kilometer. Kos projek untuk pakej-pakej ini adalah sebanyak RM631.98 juta.

Pembukaan jajaran ini bakal memberikan banyak impak positif kepada rakyat. Dari aspek pemanduan dan perhubungan, mobiliti pengguna ke Pantai Timur dapat ditingkatkan melalui penyediaan laluan alternatif baharu. Sebagai perbandingan, penduduk Kampung Mempaga yang ingin ke Pekan Bentong sebelum ini perlu melalui jalan persekutuan FT08 dengan jarak 30 km. Namun setelah jalan Bentong bypass disiapkan, jarak perjalanan dapat dipendekkan kepada 12 km sahaja dengan penjimatan masa daripada 45 minit kepada 20 minit.

Ini sekaligus dapat menjimatkan masa dan kos bahan api serta mengurangkan kesesakan trafik di Jalan Persekutuan FT08 terutamanya ketika waktu puncak dan musim cuti perayaan. Dari aspek sosio ekonomi, pembukaannya mampu merancakkan ekonomi melalui aksesibiliti ke lokasi-lokasi pelancongan di kawasan Pahang Barat.

Projek Jalan Central Spine merupakan pembinaan jalan baharu dan menaiktaraf jalan sedia ada sepanjang hampir 306.8 kilometer dari Kuala Krai, Kelantan ke Persimpangan LPT, Bentong, Pahang, berasaskan 4 lorong 2 hala (4-lane dual carriageway) mengikut piawaian JKR R5. Projek ini dibahagikan kepada enam (6) pakej utama iaitu:

Pakej 1: Kuala Krai ke Jambatan Sg. Lakit, Kelantan (47km)

Pakej 2: Jambatan Sg. Lakit ke Gua Musang, Kelantan (59.6km)

Pakej 3: Gua Musang ke Kg. Relong, Kuala Lipis, Pahang (93.4km)

Pakej 4: Kg. Relong, Kuala Lipis ke Raub, Pahang (44.65km)

Pakej 5: Raub ke Bentong, Pahang (54.1km)

Pakej 6: Bentong ke Persimpangan Lebuhraya Pantai Timur (LPT), Pahang (8.05km)

Tarikh Dan Waktu Acara
Gambar Berita
243994314_410142947345071_7332785914573823209_n.jpg
 244611434_229820382517511_3531505384353863204_n.jpg
 244676969_229823392517210_1297225623702063004_n.jpg
 244729123_229822025850680_2014034228353885021_n.jpg
244750061_229822845850598_6662456198350218141_n.jpg
244787487_229820475850835_2457798692506714762_n.jpg
 244787487_229821855850697_4724641472815925413_n.jpg
 244788154_229820922517457_6396599177470622833_n.jpg
 244806724_229821515850731_9069872337476373499_n.jpg
 244809349_229823139183902_5330451504749712069_n.jpg
 244830253_229824309183785_7737636013408574585_n.jpg
 244904888_229821322517417_5008764205610676600_n.jpg
 244965519_229821069184109_3061650195636185815_n.jpg