Memulih Ekonomi, Merancak Pembinaan Melalui Penyerahan Surat Setuju Terima Tender (SST) Dan Penyerahan Projek Siap
Memulih Ekonomi, Merancak Pembinaan Melalui Penyerahan Surat Setuju Terima Tender (SST) Dan Penyerahan Projek Siap
KUALA LUMPUR, 21 OKTOBER 2021 - Kementerian Kerja Raya (KKR) komited untuk merancakkan semula sektor pembinaan serta 196 rantaian bekalan (subsektor) di bawahnya. Salah satu strategi KKR adalah dengan mempercepatkan pengeluaran Surat Setuju Terima (SST) kepada syarikat-syarikat yang terpilih dalam proses Perolehan Kerajaan.
KKR mensasarkan 120 SST dikeluarkan sehingga akhir tahun ini. Majlis Penyerahan SST dan penyerahan projek ini telah disempurnakan oleh YB Dato’ Sri Haji Fadillah Bin Haji Yusof, Menteri Kanan Kerja Raya. Majlis ini turut dihadiri oleh YB Tuan Khairy Jamaluddin, Menteri Kesihatan.
Penyerahan SST petang ini melibatkan lima (5) projek iaitu Projek Pusat Kawalan Penyakit Negara (National Centre for Disease Control (NCDC) yang akan dilaksanakan oleh syarikat Nepturis Sdn Bhd dan Permata Rebana Sdn Bhd JV dengan nilai kontrak sebanyak RM284 juta dan tempoh kontrak selama 3 tahun 9 bulan. Projek ini akan dibina di Lengkuk Teknologi, Kawasan Perindustrian Enstek, Nilai, Negeri Sembilan Darul Khusus berkeluasan 20 ekar.
Tujuan projek ini adalah untuk mengintegrasi dan memperkukuhkan aktiviti kawalan dan pencegahan penyakit serta menyediakan perkhidmatan makmal diagnostik dan pengesahan analitik bertaraf tinggi yang lebih selamat dan teratur. Penubuhan NCDC juga dilihat sebagai pusat rujukan bagi negara-negara jiran di rantau Asia Pasifik khususnya dan serantau amnya.
Projek kedua ialah Menaiktaraf Jalan Muar – Tangkak – Segamat: Jalan Pintas Dari Kolej Matrikulasi Ke Kawasan Perindustrian Tangkak, Johor yang akan dilaksanakan oleh syarikat SLP Construction Sdn. Bhd. dengan nilai kontrak sebanyak RM183 juta dan tempoh kontrak selama tiga (3) tahun.
Projek ini melibatkan pembinaan jalan baru empat (4) lorong dua (2) hala piawaian JKR R5 sepanjang 8.1 kilometer yang bertujuan untuk mengurangkan masa perjalanan dari Segamat ke Muar, tanpa melalui Bandar Tangkak dan membantu mengurangkan kesesakan di Bandar Tangkak, terutamanya pada waktu puncak dan musim perayaan.
Projek ketiga ialah Projek Membina Jalan Penghubung Di Antara Kampung Guntur Ke Langkap, Kuala Pilah Negeri Sembilan yang akan dilaksanakan oleh syarikat AD Mutiara Sdn. Bhd. dengan nilai kontrak sebanyak RM58 juta dan tempoh kontrak selama 48 bulan (4 tahun). Projek ini dilaksanakan secara Reka dan Bina dengan menggunakan kaedah Building Information Modelling (BIM).
Projek ini melibatkan keseluruhan pembinaan jalan baharu sepanjang 6 kilometer dengan piawaian JKR R2, membina sebuah jambatan sepanjang 35 meter dan menaik taraf persimpangan sedia ada dan bakal menghubungkan penduduk luar bandar dari perkampungan Orang Asli Guntur hingga Kampung Orang Asli Langkap, Kuala Pilah, Negeri Sembilan.
Projek yang keempat adalah Projek Pembinaan Tapak Simulasi Bencana Bagi Pasukan Mencari Dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) di Markas SMART, Pulau Meranti Selangor yang akan dilaksanakan oleh syarikat B&I Builder Sdn. Bhd. dengan nilai kos kontrak sebanyak RM29.9 juta dan tempoh kontrak selama 2 tahun. Projek ini melibatkan pembangunan kawasan latihan seluas 9.4 ekar di dalam sebahagian kawasan Markas SMART di Pulau Meranti Selangor.
Objektif utama projek ini dilaksanakan adalah untuk melatih pegawai dan anggota Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) serta Agensi Penyelamat yang lain sewaktu berhadapan dengan pelbagai situasi bencana dan kecemasan.
Kontraktor yang terakhir yang berjaya menerima SST pada petang ini bagi Projek Pembinaan Sekolah Baharu 24 Bilik Darjah dan Lain-Lain Kemudahan Di Sekolah Menengah Kebangsaan Gong Nangka, Marang, Terengganu adalah syarikat Haji Embong Sdn Bhd dengan nilai kontrak sebanyak RM49.5 juta dengan tempoh kontrak selama 2 tahun 8 bulan. Komponen pembangunan projek adalah terdiri daripada Blok Pentadbiran, Blok Akademik (Bilik Darjah dan Makmal – Bengkel), Blok kantin, Blok Surau dan Blok-Blok Sokongan.
Turut diadakan sesi Penyerahan Projek Siap bagi Projek Menaiktaraf Jalan Persekutuan FT54 Dari Sungai Buloh Ke Assam Jawa, Daerah Kuala Selangor, Selangor yang berjaya disiapkan sepenuhnya pada 5 Julai 2021. Nilai kos kontrak adalah sebanyak RM418 juta dan berjaya memperolehi penjimatan sebanyak RM17 juta. Projek ini melibatkan naiktaraf jalan sedia ada daripada 2 lorong 2 hala kepada 4 lorong 2 hala mengikut piawaian JKR R5 sepanjang 25 km. Skop projek ini juga adalah termasuk kerja-kerja naik taraf 5 persimpangan sedia ada, membina 2 jejantas pejalan kaki beserta laluan motosikal dan membina 2 buah jambatan baharu. Penyiapan projek Menaiktaraf Jalan Persekutuan FT54 ini akan dapat membantu mengurangkan kesesakan trafik dan meningkatkan tahap keselamatan pemanduan pengguna jalan raya.
- Log in to post comments