Makmal Hala Tuju Pengurusan Tanah dan Pembangunan Tepi Lebuh Raya Bertol Di Malaysia | Kementerian Kerja Raya Skip to main content
255360550_440886984270667_1996298344737577437_n.jpg

Makmal Hala Tuju Pengurusan Tanah dan Pembangunan Tepi Lebuh Raya Bertol Di Malaysia

PETALING JAYA, 23 NOVEMBER 2021 – Hari ini telah berlangsung Majlis Perasmian Makmal Hala Tuju Pengurusan Tanah dan Pembangunan Tepi Lebuh Raya Bertol di Malaysia yang telah disempurnakan oleh Menteri Kanan Kerja Raya, YB Dato’ Sri Haji Fadillah Bin Haji Yusof. 

Sesi makmal selama 3 hari bermula 23 hingga 29 November 2021 ini bertujuan untuk membincangkan isu dan cabaran dalam pengurusan tanah dan pembangunan tepi jalan raya antaranya seperti:
(i)    tuntutan bagi menyelesaikan kerja-kerja pengukuran halus bagi tujuan Pewartaan Seksyen 62, Kanun Tanah Negara (KTN) Tahun 1965;
(ii)    merancang pembangunan kawasan Rawat dan Rehat (R&R) dan hentian sebelah seiring dengan kehendak dan keperluan semasa pengguna-pengguna lebuh raya;
(iii)    keperluan kerja-kerja ukur halus yang melibatkan baki lot dan hakmilik sambungan bagi pemilik-pemilik tanah supaya cukai tanah yang dibayar oleh mereka adalah bertepatan dengan baki tanah setelah selesai pengambilan oleh pihak Kerajaan;
(iv)    memperhalusi proses bagi pemberimilikan tapak komersial melalui Seksyen 76, KTN 1965 supaya lebih jelas, seragam dan teratur; dan
(v)    pelaksanaan proses pemberimilikan tapak komersil yang berkesan dan teratur akan dapat melancarkan urusan perjanjian pajakan tanah selaras dengan peraturan semasa yang berkuatkuasa.

100 orang ahli makmal yang terdiri daripada pegawai di Kementerian Kerja Raya, Kementerian Kewangan, Jabatan Peguam Negara (AGC), Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS) Jabatan Perdana Menteri, Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar (KeTSA), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM), Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian (JKPTG), Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH) dan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan 38 wakil daripada Syarikat Konsesi Lebuh Raya terlibat dalam sesi makmal ini.

Tarikh Dan Waktu Acara
Gambar Berita
 259213498_440887067603992_126081418407863830_n.jpg
 260178052_440886994270666_7560163202257335271_n.jpg