Seksyen Serian Lebuhraya Pan Borneo Sarawak Kini Dibuka
SERIAN, SARAWAK, 5 DISEMBER 2021– Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, Dato' Sri Ismail Sabri bin Yaakob telah merasmikan pembukaan jajaran Serian Pan Borneo Sarawak hari ini. Pelaksanaan projek Lebuhraya Pan Borneo Sarawak jelas menunjukkan komitmen Kerajaan Persekutuan dalam meningkatkan jaringan insfrastruktur jalan raya yang sistematik dan efisien untuk Keluarga Malaysia khususnya di negeri Sarawak. Pembukaan Jalan Projek Lebuhraya Pan Borneo bagi Pakej 3, Seksyen Serian ini melibatkan pembinaan jajaran sepanjang 33.65 km.
Seksyen ini melibatkan skop kerja menaiktaraf Jalan Persekutuan sedia ada dari Bulatan Serian ke Balai Ringin. Kos keseluruhan bagi projek ini adalah sebanyak RM700 juta dengan pembinaan seksyen ini siap pada 4 Disember 2021.
Pembinaan jajaran ini sudah pasti akan menjadi pemangkin pertumbuhan ekonomi dan membuka peluang pekerjaan penduduk setempat khususnya dari Bandar Kuching melalui Bandar Serian, Pekan Balai Ringin ke Bandar Sri Aman. Apabila siap kelak, jajaran ini akan menyediakan akses perhubungan darat yang selesa dan selamat. Secara tidak langsung ianya akan membantu mempermudahkan urusan logistik, pemasaran hasil pertanian serta mampu merancakkan aktiviti pelancongan di sekitar Kampung Rasau dan Kampung Rachan.
Majlis yang bersejarah ini turut disaksikan Ketua Menteri Sarawak, Yang Amat Berhormat Datuk Patinggi Tan Sri (Dr.) Abang Haji Abdul Rahman Zohari Bin Tun Datuk Abang Haji Openg dan Menteri Kanan Kerja Raya, Yang Berhormat Dato’ Sri Haji Fadillah Bin Haji Yusof.
- Log in to post comments