13 Projek Mendapat Markah QLASSIC Atas 85%, 40 Projek Perolehi 5 Bintang SHASSIC
13 Projek Mendapat Markah QLASSIC Atas 85%, 40 Projek Perolehi 5 Bintang SHASSIC
KUALA LUMPUR, 14 DISEMBER 2021 - Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) Malaysia hari ini meraikan syarikat-syarikat pembinaan yang berjaya mencapai skor yang tinggi dalam penilaian QLASSIC dan SHASSIC di sebuah majlis yang diadakan di Pusat Konvensyen CIDB Malaysia, Cheras.
Majlis tersebut telah dirasmikan oleh Timbalan Menteri Kerja Raya, YB Datuk Arthur Joseph Kurup yang turut menyampaikan pengiktirafan kepada syarikat yang terlibat. Turut hadir adalah Datuk Ir. Ahmad ‘Asri bin Abdul Hamid, Ketua Eksekutif CIDB Malaysia.
Hari QLASSIC serta hari SHASSIC merupakan acara tahunan yang dianjurkan oleh CIDB untuk mengiktiraf penggiat industri yang mencapai kecemerlangan dalam kualiti pembinaan serta keselamatan pekerja dan pengguna dengan melaksanakan penilaian Sistem Penilaian Keselamatan dan Kesihatan Industri Pembinaan (SHASSIC) dan Sistem Penilaian Kualiti dalam Pembinaan (QLASSIC). QLASSIC juga digunakan sebagai kriteria mengukur prestasi kontraktor bagi pematuhan taraf kualiti. Ini adalah sebuah inisiatif CIDB untuk memartabatkan sektor pembinaan tempatan dengan meningkatkan kualiti kerja serta memastikan keadaan kerja yang selamat.
Untuk tahun 2020, purata skor penilaian QLASSIC telah meningkat berbanding tahun 2019, iaitu daripada 69 peratus kepada 71 peratus. Pada tahun 2020 sebanyak 13 projek pembinaan telah mendapat skor 85 peratus ke atas berbanding 3 projek pembinaan pada tahun 2019 dan peningkatan berlaku sejak QLASSIC dilaksanakan. Skor tertinggi yang dicapai untuk QLASSIC sehingga tahun 2020 adalah 90 peratus.
Pada tahun 2020, jumlah penilaian SHASSIC di tapak bina kurang daripada jumlah penilaian projek pada tahun 2019. Oleh kerana negara berdepan dengan pandemik dan banyak projek tergendala akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), penilaian hanya dilaksanakan untuk 100 projek berbanding 352 projek pada tahun 2019. Daripada jumlah itu, 40 projek berjaya mencapai taraf 5 bintang iaitu mencapai peratusan skor 90 ke atas.
YB Datuk Arthur Joseph Kurup menggesa para penggiat industri pembinaan agar terus menggunakan penilaian QLASSIC dan SHASSIC ke atas projek-projek pembinaan yang dilaksanakan kerana ini boleh mewujudkan kualiti hasil kerja pembinaan yang tinggi dan menjamin keselamatan di samping memacu pertumbuhan sektor pembinaan.
- Log in to post comments