Projek Hospital Baharu Sri Aman, Sarawak Diserah Kepada KKM
Projek Hospital Baharu Sri Aman, Sarawak Diserah Kepada KKM
SRI AMAN, SARAWAK, 15 DISEMBER 2021 – Majlis penyerahan Projek Cadangan Membina dan Menyiapkan Hospital Baharu Sri Aman, Sarawak (108 Katil) Fasa 2: Bangunan dan Kerja Berkaitan telah disempurnakan oleh YB Dato’ Sri Haji Fadillah bin Haji Yusof, Menteri Kanan Kerja Raya dan YB Tuan Khairy Jamaluddin, Menteri Kesihatan.
Pembinaan hospital baharu ini telah bermula sejak 26 Oktober 2015 dan bersedia untuk diserahkan kepada Kementerian Kesihatan pada hari ini. Penyerahan diadakan bagi memberi peluang kepada Kementerian Kesihatan Malaysia untuk menempatkan peralatan perubatan dan latihan pengguna. Pembukaan fasiliti berprestij ini kepada orang awam akan diumumkan secara rasmi dalam masa terdekat.
Kerajaan sentiasa peka dan prihatin dengan kekangan dan masalah yang dihadapi oleh kakitangan dan pesakit di Hospital Sri Aman, Sarawak. Sehubungan itu, penyerahan bangunan hospital baharu ini kelak akan menaik taraf sebahagian besar fungsi perkhidmatan hospital lama sebagai hub utama fasiliti kesihatan di daerah Sri Aman.
Ini membuktikan komitmen Kerajaan dalam menyediakan perkhidmatan pakar kesihatan yang terbaik untuk manfaat peningkatan taraf kesihatan penduduk di Sri Aman khasnya dan penduduk di daerah sekitar amnya, dalam menerima kemudahan kesihatan pakar yang moden dan bertaraf antarabangsa.
Selain itu, objektif pelaksanaan projek ini adalah untuk menyediakan prasarana bagi perkhidmatan perubatan bercorak penggalakan, pencegahan, rawatan dan pemulihan yang cekap, sesuai dan berkesan kepada masyarakat dengan jaminan kualiti, kos dan masa yang efisien.
Pembangunan projek ini terbahagi kepada dua (2) fasa iaitu Fasa Pertama terdiri daripada skop Kerja Tanah yang melibatkan kerja Rawatan Tanah dengan kos projek berjumlah RM8 juta. Seterusnya, Fasa Kedua yang melibatkan skop Kerja Bangunan Hospital baharu, kuarters dan bangunan sokongan dengan kos kontrak semasa sebanyak RM181.4 juta.
- Log in to post comments