Tinjauan Kerja Pembaikan Infra Pasca Banjir Di Negeri Sembilan
NEGERI SEMBILAN, 11 JANUARI 2022 – Menteri Kanan Kerja Raya, YB Dato’ Sri Haji Fadillah Yusof telah meninjau lokasi jalan persekutuan yang terjejas di Negeri Sembilan bersama – sama pengurusan tertinggi Kementerian Kerja Raya (KKR) dan Jabatan Kerja Raya (JKR).
Sebanyak 75 lokasi jalan, jambatan dan cerun terjejas di Negeri Sembilan akibat bencana banjir dan Monsun Timur Laut akan dibaikpulih membabitkan kerja pembaikan berjumlah RM72.9 juta. Daripada jumlah berkenaan sebanyak RM27.29 juta adalah bagi kerja-kerja pembaikan di Jalan Persekutuan, sementara RM45.68 juta bagi kerja-kerja pembaikan di Jalan Negeri. Sehingga kini, sebanyak 67 daripada 75 lokasi yang terjejas banjir sudah pun selesai kerja-kerja pembersihan.
Dalam pada itu, Kerajaan Persekutuan telah menyediakan peruntukan segera bagi kerja-kerja kritikal melibatkan pembaikan pavemen, pembaikan jambatan, pembaikan elektrik dan cerun sebanyak RM22.14 juta. Kerja-kerja pembaikan dijangka siap sepenuhnya pada bulan Jun 2022.
Selain itu, kerja-kerja pembinaan abutment dan pemasangan sheet pile untuk pemasangan Jambatan Bailey sepanjang 18 meter juga sedang dilaksanakan merentasi Sungai Bemban di daerah Jelebu dan dijangka siap pada 24 Januari 2022.
Kerja-kerja pembersihan runtuhan tanah di Jalan Jeram Toi telah dilaksanakan oleh syarikat konsesi Selia Senggara Selatan Sdn Bhd. manakala kerja-kerja pembaikan dijangka siap sepenuhnya pada bulan Mei 2022. Kos sebanyak RM1 juta telah disalurkan bagi kerja-kerja pembaikan jalan dan pembetung lokasi berkenaan.
Pada masa sama kerja-kerja pembersihan runtuhan cerun di FT 086 Seksyen 20.5 Jalan Seremban – Kuala Klawang juga telah dilaksanakan dan jalan telah dibuka sepenuhnya. Kerja-kerja pembaikan kekal cerun akan bermula pada akhir Januari dan dijangka siap pada bulan Jun 2022.
Bagi Jalan ke Stesen Pemancar VHF (Very High Frequency), kerja pembersihan awal telah dilaksanakan dengan dibantu oleh Jabatan Perhutanan Negeri Sembilan. Bagi lokasi ini, peruntukan sebanyak RM1 juta bagi kerja-kerja pembaikan jalan dan RM4 juta bagi kerja-kerja pembaikan cerun untuk tiga lokasi. telah disalurkan dan akan dilaksanakan setelah kerja-kerja pembersihan siap.
- Log in to post comments