Proses Tender dan Perolehan KKR Kini Lebih Selesa Dan Sistematik Melalui Ruangan Kaunter Baharu
KUALA LUMPUR, 12 JANUARI 2022 – Pengurusan tender dan perolehan di Kompleks Kerja Raya kini lebih selesa selepas ruang tambahan Cawangan Pengurusan Perolehan Dan Harta (CPPH), Bahagian Kewangan Kementerian Kerja Raya siap sepenuhnya pada 23 November 2021.
Ruang tambahan ini dapat memberikan lebih keselesaan kepada pelanggan berurusan dikaunter manakala pegawai dan kakitangan dapat melaksanakan tugas dengan lebih baik lagi dalam memastikan pengurusan perolehan dapat dilaksanakan dengan lebih cekap, lancar dan selesa.
Selain ruang menunggu yang lebih luas, terdapat enam (6) peti tender tambahan, 3 bilik pembukaan dokumen tender serta beberapa lagi ruang penyimpanan dokumen tender telah disediakan bagi melancarkan lagi proses perolehan dilaksanakan pada masa hadapan.
Dokumen penyerahan ruang tambahan telah ditandatangani oleh YBhg Datuk Wan Ahmad Uzir Wan Sulaiman, Ketua Setiausaha KKR dan YBhg Datuk Ir. Mohamad Zulkefly Sulaiman, Ketua Pengarah Kerja Raya dan disaksikan oleh YB Dato’ Sri Haji Fadillah Yusof, Menteri Kanan Kerja Raya serta YB Datuk Arthur Joseph Kurup, Timbalan Menteri Kerja Raya.
Projek ini diketuai oleh JKR Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dimana tempoh pelaksanaan projek ini bermula dari 9 Februari 2021 sehingga 23 November 2021 dan telah siap sepenuhnya dua (2) hari lebih awal dari tarikh dijadualkan.
Kos yang terlibat bagi melaksanakan projek ini berjumlah RM936,532.00 melibatkan ruang kerja di Bahagian Khidmat Pengurusan dan CPPH di Aras G. Antara skop kerja yang dilaksanakan adalah meroboh, kerja lantai dinding, siling, pintu, partition, blind beroda, papan tanda, kabinet kaunter, kerja pendawaian, telefon, ICT serta kerja-kerja pendingin hawa dan pencegahan kebakaran.
- Log in to post comments