Amanat Tahun Baru 2022 Menteri Kanan Kerja Raya dan Imbasan Tahun 2021 KKR
KUALA LUMPUR, 13 JANUARI 2022 – Menteri Kanan Kerja Raya, YB Dato’ Sri Haji Fadillah Bin Haji Yusof telah menyampaikan amanat Tahun Baru 2022 kepada warga Kerja Raya dalam Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Kerja Raya (KKR) yang berlangsung di Dewan Tan Sri Mahfoz Khalid.
Pada majlis yang turut dipancarkan secara langsung di platform Facebook rasmi Kementerian ini, Menteri Kanan telah berkongsi pencapaian dan cabaran dihadapi KKR sepanjang tahun 2021 serta hasrat beliau bagi tahun 2022.
Pencapaian 2021 terbesar Kementerian Kerja Raya adalah kejayaan mencapai sasaran bagi Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) iaitu Pencapaian 100 hari yang meliputi pengeluaran 137 SST melibatkan peruntukan RM4.6 bilion dan 5,973 bilangan potholes di Jalan Persekutuan seluruh negara ditampal dalam tempoh 24 jam.
Program 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) yang julung kali diadakan pada 9 hingga 12 Disember 2021 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pula berjaya menarik kehadiran seramai 10,000 pengunjung ke Pavilion KKR sepanjang empat hari penganjuran.
Dari segi pengurusan dan tadbir urus, antara pencapaian KKR ialah 100 peratus kehadiran lima hari berkursus, Pensijilan EKSA dengan kategori cemerlang, penganugerahan dan penarafan cemerlang dalam Standard Kualiti Perkhidmatan Psikologi Sumber Manusia dengan jumlah pemarkahan sebanyak 99.17%.
Menteri Kanan Kerja Raya turut berkongsi Pelaksanaan Dasar dan Pelan dibawah KKR yang menjadi halatuju Kementerian pada masa hadapan. Dasar Pembinaan Negara (NCP) 2030 yang dilancarkan pada 9 November 2021 memberi fokus kepada pendigitalan sektor pembinaan dan pembinaan mampan serta mendukung peranan KKR sebagai peneraju pembangunan infrastruktur Malaysia.
Dasar Pembangunan Jalan Raya dan Lebuh Raya (DPJL2030) yang dijangka dilancarkan tahun ini pula akan memulakan penggubalan Dasar Senggara Infrastruktur Negara (DSIN) serta memuktamadkan Pelan Pelaksanaan NCP2030 yang akan menjadi panduan menyeluruh dalam memacu hala tuju KKR dalam merealisasikan Infrastruktur Keluarga Malaysia.
Selain daripada Highway Network Development Plan 2030 (HNDP 2030) untuk Semenanjung Malaysia, Kementerian Kerja Raya (KKR) juga akan menjalankan Kajian HNDP 2040 bagi menggantikan HNDP Fasa 2 bagi Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan yang akan tamat pada penghujung tahun 2025.
Dalam memperkasakan penyampaian perkhidmatan secara pendigitalan, Bahagian Pengurusan Maklumat (BPM) telah membangunkan Pelan Strategik Pendigitalan Kementerian Kerja Raya (PSPKKR) 2021-2025 yang menggariskan hala tuju strategik pelaksanaan pendigitalan KKR dan agensi.
Beliau turut berkongsi bahawa bagi tahun 2022, Kementerian akan menghadapi Pengauditan semula Sijil MS ISO 9001:2015 oleh Sirim, Pengauditan penilaian Malaysian Government Performance Index (MYGPI) serta pelancaran Aplikasi MyPotholes yang merupakan aplikasi aduan jalan raya secara lebih cepat melalui peranti mudah alih.
Turut diberi penghargaan ialah 2,588 sukarelawan pasukan KKR Prihatin yang telah bertungkus lumus memberi bantuan dan sumbangan barangan keperluan, tenaga serta masa kepada mangsa yang terjejas banjir di seluruh negara.
Majlis diakhiri dengan penyerahan Folder KPI Tahun 2022, Sijil Kecemerlangan EKSA dan Sijil Kecemerlangan Standard Kualiti Perkhidmatan Psikologi Sumber Manusia oleh Menteri Kanan Kerja Raya kepada YBhg Datuk Wan Ahmad Uzir Wan Sulaiman, Ketua Setiausaha KKR
- Log in to post comments