Tinjauan Infra Pasca Banjir: Pemasangan Jambatan Bailey dan Pembinaan Rumah Kekal Banjir
HULU LANGAT, SELANGOR, 3 JANUARI 2022 – Menteri Kanan Kerja Raya, YB Dato’ Sri Haji Fadillah bin Haji Yusof telah meninjau sendiri kerja – kerja pemasangan Jambatan Bailey di Batu 19, Jalan Sungai Lui, Hulu Langat. Jambatan sepanjang 18 meter ini mula dipasang pada 1 Januari 2022 dan telah siap pada jam 5.00 pagi, 2 Januari 2022. Kerja-kerja pemasangan ini membabitkan seramai 14 orang Ahli Pasukan Jambatan Bailey JKR Petaling dan 20 orang anggota Rejimen Askar Jurutera Diraja.
Daerah Hulu Langat merupakan antara kawasan yang terjejas akibat banjir yang berlaku pada 18 Disember 2021 yang lalu. Dalam kejadian banjir tersebut, jambatan asal merentasi Sungai Langat yang menghubungkan jalan utama dengan 14 buah rumah penduduk telah runtuh dan menyebabkan terputus hubungan.
Kementerian Kerja Raya (KKR) melalui agensinya, Jabatan Kerja Raya (JKR) telah mengemukakan Cadangan Reka Bentuk Rumah Kekal Banjir (RKB) atau Rumah Mampu Milik (RMM) JKR bagi menggantikan 34 kediaman penduduk yang terjejas atau musnah akibat banjir.
Rekabentuk RKB JKR mengutamakan keselesaan dan penggunaan ruang optimum untuk kesejahteraan serta keselesaan penghuni. Terdapat dua jenis RKB iaitu Rumah Kekal Banjir Atas Tiang dan Rumah Kekal Banjir Atas Tanah. Kedua – dua jenis ini mempunyai keluasan yang sama iaitu 660 kaki persegi. Kos pembinaan pula bergantung kepada bahan binaan yang digunakan iaitu samada menggunakan Konvensional Brickwork atau Konvensional Blockwork.
Bagi RKB Atas Tiang yang menggunakan Konvensional Brickwork, kosnya adalah RM70 ribu, manakala bahan Konvensional Blockwork RM71 ribu. Bagi RKB Atas Tanah kosnya lebih rendah iaitu RM55 ribu (Konvensional Brickwork) dan RM56 ribu (Konvensional Blockwork).
Tempoh pemasangan juga bergantung kepada kaedah pembinaan yang digunapakai. Bagi kaedah konvensional, tempoh pembinaannya adalah antara 75 hingga 90 hari untuk setiap rumah manakala kaedah Sistem Binaan Industri (IBS) tempohnya lebih singkat iaitu 60 hari.
- Log in to post comments